Setiap antara kita ada pastinya pernah merasai pengalaman hidup susah, namun itulah yang menjadi pengajaran paling berharga.
Samalah seperti penyanyi Datuk Zainal Abidin yang pernah melalui fasa sukar semasa membesar.
Menurut Kosmo, Zainal berkongsi bagaimana dirinya sewaktu kecil membesar dalam serba kekurangan dan dibesarkan datuk nenek.

“Tiga hari selepas saya lahir, saya diberi kepada datuk dan nenek untuk dijaga. Saya anak yang tidak diinginkan.
“Saya dijaga oleh datuk dan nenek sejak bayi sehingga mereka meninggal dunia sewaktu saya berusia lapan tahun. Selepas itu saya berpindah dari satu keluarga ke satu keluarga yang lain.
“Saya jadi seorang kanak-kanak yang terkesan dari segi mental dan fizikal,” katanya seperti dipetik Kosmo.
Buat macam-macam kerja
Tidak hanya buat satu kerja, Zainal memaklumkan mula bekerja semasa dirinya masih di bangku sekolah demi mencari rezeki tambahan.
“Kehidupan saya sangat sukar ketika itu. Saya bekerja di jalanan dengan menjual ais kacang dan adakalanya bermain muzik dengan menggunakan kotak dan bangku sebab saya tiada duit.
“Saya minat dalam bidang muzik kerana datuk dan nenek saya adalah seorang pemuzik dan penyanyi ketika saya membesar dengan mereka.
“Pernah juga saya bekerja sebagai buruh binaan dan menjadi tukang basuh pinggan untuk meneruskan kehidupan ketika itu,” ujarnya.
Bagi Zainal kepayahan yang dilaluinya ketika kecil itu adalah pengalaman paling berharga dalam dirinya untuk menjadi seperti hari ini.
Baca juga: Tiga filem tempatan ini rekod kutipan terendah sepanjang 2023, raih tak sampai RM7,000 pun