Tak nak tanggung dosa orang beli, Nora Danish derma baju seksi kepada rakan bukan Islam

Oleh MAISARAH AISYA

Pastinya bagi mereka yang berhijrah mahu membuang segala pakaian yang tidak menutup aurat dan ada juga memilih menjualnya sebagai baju terpakai.

Buat pelakon Nora Danish, lain pula cara digunakan untuk mengasingkan baju-baju lama yang mendedahkan auratnya.

Nora memilih untuk menderma kepada rakan bukan Islam dan tidak menjual bajunya kerana enggan menanggung dosa individu yang membelinya lapor Kosmo! Online.

“Pakaian zaman saya seksi dulu semuanya sudah diberikan kepada rakan-rakan bukan Islam secara percuma je.

“Sebab kalau saya nak jual pakaian itu tidak boleh, ibaratnya saya akan tanggung dosa mereka yang akan membelinya.

“Lama dah saya ‘let go’ semua pakaian itu, dah tak simpan lagi,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Dalam pada itu, Nora juga secara perlahan memadam gambar lama yang tidak menutup aurat di media sosial.

“Saya kena buang semua gambar tidak menutup aurat, tetapi mengambil masa sebab jumlahnya lebih 26,000 keping.

“Baru beberapa ribu dipadam, masih banyak lagi. Saya kena belek satu persatu. Bila tengok gambar lama, saya cakap dalam hati, ‘apa lah aku buat dulu’.

“Namun itu merupakan proses kehidupan. Kalau tidak lalui fasa-fasa itu, mungkin tidak rasa menyesal seperti sekarang,” tambahnya.

Baca juga: Fattah Amin buka mulut selepas tersebar gosip bertunang dengan Amira Othman