Tak puas hati kena hon, lelaki bawa parang masa bertengkar ditahan polis

Oleh KIM SYAZIE

Tular video pertengkaran di stesen minyak melibatkan seorang pemandu lori yang memegang parang selepas dikatakan tidak berpuas hati dengan pemandu lain.

Kejadian tersebut dikatakan berlaku di stesen minyak di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Gurun, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pihaknya mengesan video tular itu di Facebook (FB) pada 10 pagi semalam.

“Anggota Task Force Balai Polis Gurun dikerah ke lokasi dan menemubual pengurus stesen minyak yang memaklumkan kejadian berlaku pada 7.40 malam, 1 Julai lalu.

“Semakan mendapati video itu dimuat naik pengguna Facebook Eysz Seventhx,” katanya dalam kenyataan media.

Menurut Zaidy punca perselisihan faham antara pemandu lori dan pemilik pacuan empat roda Ford Ranger adalah disebabkan bunyi hon.

“Perselisihan faham antara mereka berterusan sehingga sampai di tempat kejadian.

“Pemandu lori mendakwa diugut pemandu Ford Ranger, menyebabkan dia mengeluarkan sebilah parang yang disimpan di dalam lorinya,” katanya.

Menurutnya, pemandu lori membuat laporan polis semalam dan telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Manakala polis masih mencari pemandu Ford Ranger untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 (1) Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Baca juga: Ibu melampau! Minta guru ganti rugi lepas anak hilangkan bekas pensil ‘kayangan’