Semalam tular kisah tanah Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Alor Pongsu yang dimiliki oleh orang bukan islam. Serentak dengan itu, pihak masjid melancarkan kutipan derma untuk menebus semula tanah bagi mengelak masalah pada masa akan datang.
Tidak sampai pun 36 jam, ternyata kisah masjid Ar-Ridzuan menyentuh hati rakyat Malaysia apabila kutipan berjaya mencapai RM2 juta untuk tujuan pembelian tanah masjid.
Memetik dari laporan Kosmo, Pengerusi masjid, Yusuf Majid berkata, jumlah keseluruhan kutipan setakat pukul 8 malam tadi mencecah RM1,977,482.20. Malah lebih menyentuh hati apabila kutipan ini melebihi sasaran asal sebanyak RM1.8 juta yang ditetapkan pemilik tanah tersebut.
“Sumbangan telah ditutup secara rasmi pada pukul 8.30 malam selepas kita mencapai jumlah yang diperlukan.
“Laporan mengenai penutupan ini yang tular di media sosial adalah benar dan saya sendiri sudah maklumkan perkara itu kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pihak yang membantu,” kata pengerusi masjid seperti dilapor oleh Kosmo.
Tidak perlu menunggu dua minggu seperti digariskan pekeliling yang diumumkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad sebelum ini, beliau melahirkan rasa terharu dengan sambutan rakyat Malaysia yang dapat mengumpul jumlah besar ini dalam masa yang singkat.
Pihak masjid kini menunggu arahan seterusnya daripada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) bagi proses rundingan dan urusan dokumentasi pembelian tanah berkenaan.