Baru-baru ini tular satu rakaman di media sosial memaparkan seorang lelaki berusia sedang menanggalkan baju jubah yang dipakainya ketika berada di tepi jalan raya.
Menyentuh hati orang ramai, pak cik terbabit rupanya bertindak sedemikian dengan tujuan memberikan baju dipakainya kepada gelandangan yang sedang kesejukan.
Berdasarkan rakaman tersebut, dapat dilihat pak cik dikenali sebagai Wan Alamshah itu menegur gelandangan tidak berbaju ketika berjalan berhampiran sebuah gerai.
Wan Alamshah kemudian bertindak menanggalkan jubah sebelum menyerahkan baju kemeja-T putih yang dipakainya di bahagian dalam kepada gelandangan berkenaan.
Difahamkan, gelandangan tidak berbaju tersebut berada dalam keadaan kesejukan ekoran keadaan jalan raya yang dilihat masih basah dipercayai selepas hujan turun.
Sebaik sahaja menyerahkan baju, pak cik berkenaan tidak terus beredar sebaliknya pergi ke gerai berdekatan untuk membelikan makanan untuk gelandangan terbabit.
Kejadian mengharukan yang berlaku di Satok, Kuching, Sarawak itu sempat dirakam sebelum dikongsi pengguna TikTok dikenali sebagai @afhiaffandy di akaun miliknya.
“Semoga menjadi asbab untuk mengajak orang lain di dalam Fastabiqul Khairat iaitu berlumba-lumba melakukan kebaikan. Alhamdulillah, hidup kita masih memiliki serba sedikit kemampuan.
“Sedangkan ada orang lain tak pernah merasa tilam empuk, makan dengan tenang, rumah yang selesa dan pakaian yang baik. Kita sahaja yang kurang bersyukur. Moga Allah kurniakan kita nikmat rasa syukur dgn hati yang tenang,” katanya.
Menurut pemilik akaun, pak cik yang dikenali penduduk sekitar sebagai Tuan Hj Wan Alamshah itu sering melakukan amal kebajikan di mana-mana sahaja beliau berada.
Tuan Hj Wan Alamshah juga pernah menasihati pemilik akaun agar membantu orang ramai sekurangnya dengan membuat mereka tersenyum sekiranya tidak mampu bersedekah.
Setakat artikel ini ditulis, perkongsian yang berjaya mencuri perhatian ramai itu telah meraih sebanyak 1.9 juta tontonan dan 271,300 tanda suka dari pengguna TikTok.