Tak sangka ini tindakan wanita bila dihalang masuk balai polis, sarung kusyen jadi penyelamat!

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita mendakwa dirinya dilarang masuk ke sebuah Balai Polis di daerah Perak kerana telah melanggar kod etika pakaian di bangunan kerajaaan

Wanita tersebut dimaklumkan oleh seorang anggota polis yang bertugas di balai itu untuk memakai skirt melebihi paras lutut sebelum dibenarkan membuat urusan di balai berkenaan.

Menyedari kesilapannya, wanita terbabit tidak memarahi anggota berkenaan sebaliknya hanya meminta masa lima minit sebelum menyambungkan urusannya di balai polis tersebut.

Perkara yang muncul di benak fikirannya pada waktu itu adalah untuk memandu pulang sahaja ke kediamannya dengan tujuan menukarkan pakaiannya agar tampil lebih sopan.

Walau bagaimanapun sebelum memandu, wanita itu tiba-tiba mendapat ilham saat mendekati kenderaannya dan ternampak sarung kusyen di yang dipasangkannya di kerusi.

Lalu wanita yang dikenali sebagai Jeanne itu membuat keputusan untuk menggunakan sarung kusyen tersebut sebagai pakaian atau skirt labuh yang melebihi paras lutut.

Demi mematuhi kod etika pakaian, sarung kusyen itu dililitkan Jeanne pada pinggang sebelum diikat dengan jaket miliknya bagi memastikan ‘skirt’ tersebut tidak londeh.

Jeanne kemudian dengan penuh keyakinan memulakan langkah kembali ke balai bersama pakaian barunya dan diberi kebenaran untuk menjalankan urusan di premis terbabit.

Menurut Jeanne, kakitangan yang bertugas di balai itu turut memuji tindakan cerdasnya dengan menunjukkan isyarat bermaksud bagus kepadanya menggunakan ibu jari.

Berjaya mencuri perhatian ramai, kejadian itu diceritakan semula oleh Jeanne sendiri menerusi satu hantaran tular di sebuah laman kumpulan Facebook penduduk Bukit Indah.

“Dia (pegawai) akhirnya membenarkan saya masuk. Mereka (kakitangan balai polis) semua ketawa sehingga tidak boleh bercakap.

“Saya tidak tahu sama ada saya cukup bertuah untuk menyertai Pertandingan Kostum Paling Kreatif pada tahun ini. 

“Tidak ada kain sarung untuk dipinjam di balai polis ini. Saya hampir pulang ke rumah untuk menukar pakaian.” Tulis Jeanne di dalam perkongsiannya di laman Facebook tersebut.

Baca juga: Jenama mewah buat hal lagi! Gelang sama macam pita pelekat tapi harga cecah RM19k