Bagi mereka yang suka manisan pastinya akan berlumba-lumba untuk mendapatkan kerja sebagai penguji gula-gula.
Sebuah syarikat gula-gula di Kanada menawarkan jawatan kosong untuk mengetuai kakitangan penguji rasa produk gula-gula.
Lebih mengejutkan adalah mereka ditawarkan dengan pendapatan tahunan AS$78,000 (RM347,646), malah dapat elaun untuk gigi lagi.
Jurucakap syarikat gula-gula dalam talian, Candy Funhouse, Vanessa Janakijevski-Rebelo berkata, pihaknya sedang mencari Ketua Pegawai Gula-Gula untuk mengetuai pasukan pengujian rasa produk.
“Awal tahun lalu, kami mencari Candyologists, penguji rasa asal kami dan kami kini mempunyai tiga kakitangan.
“Kini, kami sedang mencari Ketua Pegawai Gula-gula kami yang akan membimbing Pakar Candyologist,” katanya.
Nampak macam senang tapi tanggungjawab mereka bermula daripada meluluskan produk baharu kepada mengadakan mesyuarat kakitangan.
Siapa yang berjaya mendapatkan jawatan ini juga perlu bertindak sebagai ketua penguji rasa.
Menurut Harian Metro, tawaran ini terbuka kepada sesiapa yang berumur lima tahun ke atas yang menetap di Amerika Utara.
Syarat utama termasuk mempunyai ‘cita rasa bagus’ dan gigi cantik, menurut penyenaraian pekerjaan di LinkedIn.
Candy Funhouse berkata, pihaknya menerima lebih 100,000 calon dalam masa dua minggu sahaja.
Sebaik sahaja dipilih, kakitangan baharu yang bertuah itu akan menjalani latihan menyeluruh. Antara faedah pekerjaan mereka termasuklah pelan menyeluruh pergigian.
Tawaran itu mendapat sambutan hebat di media sosial, bukan hanya daripada orang dewasa, malah kanak-kanak.