Hasrat jalani pemindahan hati tak kesampaian, Tia Jinbara meninggal dunia semalam

Oleh WAN SITI AMINAH

Dunia hiburan semalam dikejutkan dengan pemergian bekas vokalis kumpulan Jinbara, Tia yang meninggal dunia akibat kanser hati.

Tia atau nama sebenarnya Shamsul Bakhtiar Zakaria itu telah menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 53 tahun kira-kira pukul 9.17 malam Rabu (semalam).

Ketika kejadian, Tia berada di Hospital Shah Alam selepas dimasukkan ke institusi berkenaan pada Rabu minggu lalu selepas mengadu sakit perut dan sukar bernafas.

Menyayat hati, berita duka itu disampaikan oleh isteri arwah sendiri merangkap pengurusnya iaitu Suzan Ahmad, lapor Mstar.

“Ya betul, dekat Hospital Shah Alam dalam pukul 9.17 malam tadi. Sekarang saya tengah uruskan dekat hospital,” katanya memetik laporan Mstar.

Terdahulu, Tia dikejarkan ke Hospital Shah Alam pada Rabu lalu selepas mengadu sakit perut melampau dan sukar bernafas sebelum disahkan menghidap kanser hati.

Difahamkan, penyakit itu dikesan selepas penyanyai berkenaan menjalani pelbagai pemeriksaan termasuk ujian prosedur imbasan tomografi berkomputer (CT Scan).

Perlu melakukan pembedahan pemindahan hati dengan segera, organ milik Tia yang menderita penyakit kanser tahap empat itu sudah tidak berfungsi seperti biasa.

Dedah Suzan, kesihatan suaminya itu sememangnya tidak menentu sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana sering sakit perut dan mudah mengalami demam.

Pelantun lagu Farhana itu akhirnya dikejarkan ke hospital selepas keadaan semakin buruk dan tidak lagi mampu menahan sakit selain perutnya juga semakin membesar.

Kelmarin, Suzan yang juga bekas wartawan Berita Harian tampil melancarkan tabung bagi menampung kos pembedahan pemindahan hati di Hospital Medanta, New Delhi, India.

Ajal dan maut di tangan Tuhan, hasrat murni Suzan untuk mendermakan hati buat suami tidak kesampaian apabila penyanyi itu dijemput Ilahi ke bumi abadi, semalam.

Sekadar info, Tia mendirikan rumah tangga bersama Suzan iaitu seorang ibu tunggal yang mempunyai tiga orang cahaya mata pada bulan Mei 2009.

Hasil perkongsian hidup selama 14 tahun, pasangan dua sejoli itu bagaimanapun belum ada rezeki untuk dikurniakan zuriat.

Baca juga: Sakit perut jadi petanda Tia Jinbara hidap kanser hati, isteri bersedia derma organ