Satu rakaman memaparkan tiga orang wanita menutup bahagian atas badan mereka dengan menggunakan tikar sambil berjalan di dalam sebuah kediaman telah mencuri perhatian pengguna media sosial, baru-baru ini.
Mana tidaknya, rakaman tersebut sememangnya mencuit hati terutamanya untuk mereka yang pernah mengalami pengalaman serupa apabila rumah dikunjungi oleh lelaki bukan mahram.
Situasi menjadi mencemaskan apabila para wanita tidak menutup aurat dengan memakai tudung sehinggakan mereka yang panik mencapai apa sahaja barang untuk melindungi pandangan tetamu lelaki.
Itulah situasi yang dialami oleh tiga orang wanita di dalam video berkenaan di mana mereka segera menjadikan tikar sebagai alat untuk menutup aurat berikutan tidak sempat memakai tudung apabila abang ipar masuk ke rumah.
Menerusi rakaman berdurasi 13 saat yang dikongsikan di platform TikTok itu, kelihatan tiga wanita terbabit berjalan dengan berhati-hati sambil ‘mengusung’ tikar atas kepala untuk menghalang pandangan abang ipar mereka.
“Apabila abang ipar sampai, tak sempat memakai tudung. Tikar pun bolehlah,” tulis keterangan video yang dimuat naik di akaun TikTok milik ahli keluarga kepada ketiga-tiga wanita berkenaan.
Dalam rakaman yang dipercayai dirakam ketika perayaan Aidiladha itu, turut terdengar suasana riuh di kediaman tersebut dengan gelak ketawa penghuninya disebabkan oleh kelakuan mereka bertiga.
Pemilik akaun kemudian meminta orang ramai agar tidak menyalahkan pihak abang ipar di ruangan komen kerana penghuninya sudah dimaklumkan lebih awal mengenai kedatangan lelaki terbabit.
“Untuk makluman semua, bukan salah abang ipar. Kami sudah beritahu lebih awal. Siap berikan salam. Tetapi adik-adik yang leka main Monopoly. Kami tunggu dekat depan berikan masa untuk mereka bersiap.
“Lah, tiba-tiba mereka bertiga lalu dengan membawa tikar.” Jelas pemilik akaun di ruangan komen video yang berjaya meraih sebanyak 1.5 juta tontonan dan 139,500 tanda suka daripada pengguna TikTok itu.

Baca juga: Pemuda kongsi realiti hidup di flat B40, mentaliti jauh beza dengan orang duduk kondo