Tak sepatutnya RUU Anti Lompat Parti ditangguh lagi, kata ADUN

Oleh KIM SYAZIE

Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang sepatutnya dibentangkan pada Mac lalu tidak seharusnya ditangguhkan lagi, kata ADUN Bukit Katil, Adly Zahari.

Beliau menerusi kemaskini di Facebook mempersoalkan sama ada kerajaan benar-benar serius mahukan kestabilan politik ekoran penangguhan lagi sekali akta berkenaan yang dijadualkan akan dibahas pada Isnin depan.

“RUU Anti Lompat Parti sepatutnya dibentangkan Isnin hadapan tetapi dikhabar akan ditangguh lagi. Apakah ada dalih lagi? Seriuskah kerajaan mahukan kestabilan politik?

“RUU Anti Lompat Parti itu sepatutnya sudah dibentangkan bulan Mac lalu. RUU ini sepatutnya menjadi asas agar mandat yang diberikan rakyat dapat dijaga.

“Sekiranya terdapat kelemahan mahu pun penyalahgunaan kuasa dari RUU itu, ianya boleh ditambah baik pada masa akan datang,” katanya.

Adly menambah, keperluan semasa agar RUU ini dibentang, dibahas dan diluluskan perlu menjadi keutamaan supaya maruah negara dapat dikembalikan dan negara ini dapat dilihat sebagai sebuah negara demokrasi yang berintergriti.

Pada semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu bahawa Kabinet tidak bersetuju dengan cadangan RUU Anti Lompat Parti yang sepatutnya dibentangkan dalam sidang khas Dewan Rakyat pada Isnin ini.

Beliau berkata, RUU itu tidak akan dibentangkan dalam sidang khas Isnin ini, sebaliknya ia dihantar balik untuk kajian lanjut ke atas definisi “lompat parti”.

Dilaporkan, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob akan mempengerusikan mesyuarat mengenai RUU itu pada Ahad ini, di mana semua Ahli Parlimen dan senator dipanggil.

Baca juga: https://malaysiadateline.com/siti-nurhaliza-tawan-twitter-selepas-masuk-senarai-ke-27-penyanyi-di-dunia-terima-paling-banyak-anugerah/

Baca juga: https://themalaysialife.com/jersi-tangan-tuhan-milik-diego-maradona-bakal-dilelong-pada-harga-rm22-juta/