Laungan takbir bergema di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), Jakarta semalam selepas pasukan bola sepak Indonesia menang 1-0 melawan China di dalam pusingan kelayakan Asia ke Piala Dunia.
Situasi cukup mengharukan itu terakam di dalam lensa kamera pengunjung ketika mereka sama-sama meraikan kejayaan skuad Garuda untuk meneruskan perjuangan ke pentas Piala Dunia 2026.
Menerusi satu rakaman tular di aplikasi TikTok, kelihatan pengunjung di stadium begitu bersemangat melaungkan takbir dipimpin oleh pelakon Indonesia, Ibnu Jamil yang berdiri di bangku penonton.
Rakaman itu berjaya mencuri perhatian ramai berikutan takbir dilaungkan bertepatan dengan malam Aidil Adha memandangkan Indonesia meraikan perayaan tersebut sehari lebih awal daripada Malaysia.
Oleh yang demikian, kejadian malam semalam itu bukan sahaja melambangkan kemenangan pasukan Indonesia malah turut memberi makna cukup besar terutamanya di dalam hati umat Islam.
“Selamat Hari Raya Aidil Adha. Mohon maaf lahir dan batin,” tulis seorang penonton yang berkongsi rakaman pada hari kejadian itu di akaun TikTok miliknya sebelum berjaya meraih 1.1 juta tontonan ketika artikel ini ditulis.
Terdahulu, penyerang skuad Indonesia iaitu Ole Romeny menjaringkan gol tunggal perlawanan menerusi sepakan penalti kontroversi sebelum perlawawan separuh masa pertama tamat.
Kemenangan disahkan selepas semakan VAR dilakukan sekali gus menyaksikan Indonesia mara ke pusingan keempat untuk meneruskan perjuangan mereka dalam Kelayakan Piala Dunia 2026.
Skuad kendalian Patrick Kluivert itu menduduki tangga keempat dalam Kumpulan C dengan mengumpul sembilan mata dan membuka peluang lebih cerah untuk menyertai kejohanan paling berprestij itu tahun hadapan.
Indonesia juga mencipta sejarah apabila menjadi satu-satunya pasukan Asia Tenggara yang mencatatkan tiga kemenangan dan akan menjadi pasukan pertama rantau itu untuk mara sejauh mungkin dalam kelayakan kali ini.