Takut minyak terpercik masa goreng hati ayam? Ini cara mudah nak elak!

Oleh MAISARAH AISYA

Bagi penggemar organ dalaman haiwan, khususnya hati ayam dan pedal, pasti faham betapa mencabarnya proses memasak dua bahagian ini, terutama ketika menggoreng.

Walaupun rasanya begitu menyelerakan, lebih-lebih lagi jika dipadankan dengan sambal belacan dan nasi panas, proses memasaknya sering menguji kesabaran.

Minyak yang meletup-letup, percikan panas mengenai tangan, malah dinding dapur pun boleh jadi mangsa!

Namun, tahukah anda sebenarnya ada cara mudah untuk elakkan hati ayam meletup semasa digoreng?

Cara goreng hati ayam tak meletup

1. Jangan goreng masa tengah basah

Biasanya antara kesalahan dilakukan adalah nak cepat masak, sejat ayam sikit, gaul dengan garam dan kunyit terus masuk kuali.

Air walaupun sedikit tapi kena minyak panas memang akan meletup, jadi pastikan hati ayam tu kering, lap dengan tisu untuk buang semua air.

2. Pastikan minyak betul-betul panas

Bila minyak tak panas tapi hati ayam dah masuk, ia akan menyerap minyak dan kdangkala jadi tak garing dan cepat meletup.

Pastikan minyak panas, boleh cubit sedikit bahagian dan masukkan dalam minyak, kalau berdesir dan naik cepat maka boleh goreng ia.

3. Jangan masak dalam kuantiti yang banyak

Memang betul boleh jimat masa, tapi segala bahan yang masuk ke dalam minyak ini akan menyebabkan suhu minyak turun.

Maka goreng ia dalam kuantiti sedikit, kalau banyak sangat bukan setakat meletup, ada nanti setengah masak elok, setengah lagi lembik.

4. Pastikan guna api sederhana

Api kalau tinggi sangat, hati ayam ni boleh jadi keras dan hangit dengan cepat, rasa pahit dan tak sedap bila dimakan maka gunakan api sederhana.

5. Sadur dengan  tepung sebelum goreng

Sadurkan hati ayam dengan tepung sebelum goreng, tepung gandum atau tepung beras.  Tepung ni boleh menyerap sisa air dan mengurangkan kemungkinan ia meletup.

Baca juga: CEO Batu mengaku tak bersalah, didakwa lakukan amang seksual kepada mangsa bawah umur