Tambah keluasan hutan perlindungan elak hidupan liar pupus

Oleh ARIF ATAN

Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman menggesa kerajaan negeri Perak menambahkan lagi keluasan hutan perlindungan bagi mengelak bilangan populasi hidupan liar semakin berkurangan dan pupus.

Menurutnya, langkah tersebut mengikut Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985 disamping mewartakan kawasan-kawasan tertentu yang dikenalpasti di bawah Enakmen Perbadanan Taman Negeri 2001.

“Pihak Berkuasa Negeri perlu mewartakan pengkelasan hutan mengikut Seksyen 10(f), Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985 iaitu sebagai hutan perlindungan hidupan liar di Hutan Simpan Parit (HS Parit) dan sebahagian Hutan Simpan Kledang Saiong (HS Kledang Saiong).

“Hal ini kerana kedua-dua kawasan hutan simpan tersebut sahaja terdapat habitat Siamang (Sympalangus syndactylus) di Perak,” dipetik dari Mingguan Amanah.

Meor Razak Meor Abdul Rahman.png

Beliau berpendapat bilangan populasi hidupan liar di negeri Perak adalah membimbangkan walaupun Perak masih mempunyai keluasan kawasan berhutan melebihi 1 juta hektar berbanding keluasan tanah kira-kira 2,103,800 hektar.

“Faktor utama bilangan populasi hidupan liar di Perak semakin berkurangan adalah kerana kemusnahan habitat dan kawasan keliaran selain daripada faktor dan isu pemburuan haram.

“Sebagai contoh, tidak kurang tiga spesies hidupan liar negeri Perak telah pupus akibat kemusnahan habitat iaitu Badak Raya (Rhinoceroses sondaicus), Badak Sumatera (Dicerohinus sumatrensis) dan Babi Jakut (Sus barbatus),” jelasnya.

Menurutnya, habitat ketiga-tiga spesies tersebut adalah di kawasan hutan pamah terutama kawasan hutan berpaya (hutan paya gambut dan hutan air tawar) sedangkan sebahagian besar habitat sedemikian di Perak telah dimusnahkan dan ditebusguna.

“Mengikut rekod dan dokumentasi, taburan dan habitat ketiga-tiga spesies tersebut di negeri Perak kebanyakannya terdapat di Daerah Hilir Perak kecuali Badak Sumatera yang juga terdapat di daerah lain.

“Malah, yang lebih mendukacitakan apabila Pihak Berkuasa Negeri memansuhkan keseluruhan Rizab Hidupan Liar Chior pada 2014 yang merupakan Rizab Hidupan Liar yang pertama ditubuhkan di Malaysia,” ujar Meor Razak lagi.