Beberapa hari yang lalu harga tambang pengangkutan awam telah dinaikkan dan undang-undang yang baru telah diluluskan di Parlimen.
Namun demikian, rakyat negara kita telah alpa atau tidak mempedulikannya kerana sibuk dengan pekerjaan mereka.
Dalam makna lain, rakyat terlalu sibuk untuk mengambil tahu apa yang sedang berlaku di negara kita kerana tumpuan penuh telah diberikan kepada aktiviti mata pencarian.
Ini dapat dibuktikan dengan jelas apabila harga tambang bas, LRT, keretapi dan monorel dinaikkan, rakyat pun diam membatu sahaja.
Ditanya mengapa situasi demikian berlaku, seorang pemuda yang bekerja sebagai pemandu van menghantar barang ke rankaian kedai runcit berkata, “Kita sudah putus asa, lah. Pihak pembangkang pun lemah, bantah pun tak guna. Kalau kerajaan hendak naikkan harga, tiada sesiapa boleh buat apa-apa.”
Pemuda yang bernama Azhari yang berusia 30 tahun ini berpendapat sekarang semua orang yang bergaji rendah sedang hidup susah dan tahun hadapan akan menyaksikan kesusahan yang berkali-ganda jika nilai matawang ringgit terus berada pada paras lebih dari RM4 untuk AS$1.
Seorang penuntut institut pengajian tinggi swasta, Shirley Ann berasa bahawa rakyat negara kita sudah menjadi seperti kambing biri-biri.
“Rakyat sudah tidak mempedulikan apa yang berlaku di negara kita. Macam ‘zombie’ sahaja. Tiada masa dan tiada minat. Saya tengok pekerja dari Bangladesh terlalu ramai disini tetapi rakyat negara kita pun diam saja, tidak membantah pun,” ujar Shirley Ann yang baru berusia 21 tahun.
Seorang usahawan wargamas yang juga ahli NGO perniagaan yang tidak mahu memberi namanya semasa diwawancara berpendapat rakyat Malaysia kini menjadi seperti ‘robot/mesin’ dengan hanya mempedulikan mata pencarian mereka dan tabiat ini bukan menggambarkan satu masyarakat ataupun tamadun yang berwawasan.
Ramai orang di Malaysia tidak berminat dengan isu-isu ekonomi dan politik ataupun isu-isu yang dibahaskan di Parlimen seolah-olah isu-isu tersebut adalah peristiwa yang berlangsung di planet lain.
Justeru itu, harga barang akan terus naik tanpa bantahan oleh rakyat dan akhirnya rakyat juga yang akan susah nanti.
Bagi Alfred Lai, seorang kerani akaun di sebuah bank, untuk Malaysia menjadi sebuah negara yang maju, rakyatnya mestilah berpengetahuan tinggi dan arif tentang isu-isu politik dan ekonomi negara tetapi kini rakyat Malaysia hanya sibuk ‘cari makan’ kerana telah dibelenggu oleh kos sara hidup yang melambung naik.
Rakyat negara kita mesti bertindak sebagai suara ‘semak dan imbang’ pada masa kini dan jangan harapkan kepada pembangkang sahaja. Kalau rakyat tidak mahu bersuara untuk hak dan kebaikan rakyat, bila lagi mahu bersuara?
Sekurang-kurangnya rakyat harus bersuara lantang membantah kenaikan kadar tol dan tambang pengangkutan awam selain dari meminta lebih banyak barang dikecualikan dari dikenakan 6% Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST).
Selain itu, harga ubat mestilah murah walaupun TPPA (Trans-Pacific Partnership Agreement) ditandatangani. Semua isu ini mesti mendapat perhatian rakyat dan suara rakyat mesti bangkit menentang kenaikan harga.
Sampai bila rakyat mahu diam membisu?
“Saya rasa rakyat Malaysia semua sudah ‘give up’lah.Sudah tidak mahu pedulikan apa-apa kecuali kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” tambah Alfred.