Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad menegaskan, tanah di Kampong Baru dilindungi sepenuhnya oleh Akta 733 Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu Seksyen 14 (4).
Beliau yang berhasrat memberi nafas baharu kepada kampung berusia 119 tahun itu turut menepis andaian bahawa tanah orang Melayu akan tergadai.
“Ia (andaian itu) adalah tidak benar sama sekali. Akta ini memperjelaskan bahawa Perbadanan hendaklah melindungi, memelihara dan memulihara kepentingan orang Melayu.
“Oleh itu, apa-apa jua pembangunan di kampung tersebut, prinsip utamanya adalah pemilikan tanah tetap kekal kepada orang Melayu dan pemilik serta waris asal akan terus memiliki hartanah di situ, sekali gus masih menjadi penduduk di kampung itu.” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapatama sempena Sesi Town Hall beliau bersama pemilik dan pewaris tanah Kampong Baru, hari ini.
Sesi itu diadakan di Dewan Perdana Felda yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan; Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampong Baru (PKB), Tan Sri Ambrin Buang dan Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Zulkarnain Hassan.
Dalam perancangan pembangunan semula itu, Khalid yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH turut memaklumkan, kerajaan menawarkan empat pilihan kepada pemilik dan pewaris tanah kampung tersebut, bertujuan menjaga kepentingan mereka.
“Empat pilihan itu adalah yang pertama, memilih untuk mengambil tunai, memilih untuk memiliki unit siap, memilih untuk mengambil tunai dan unit siap atau pilihan keempat mengambil pulangan sebagai pemegang saham dalam projek-projek pembangunan di kampung tersebut.
“Saya tetap komited untuk meneruskan usaha pembangunan semula ini kerana ingin menyelesaikan masalah-masalah utama yang telah lama bertapak di Kampong Baru iaitu lambakan golongan pendatang tanpa izin yang semakin berleluasa.
“Selain itu, masalah lain adalah perumahan usang yang boleh mendatangkan bahaya kepada penginap rumah itu sendiri, kesesakan lalu-lintas, kejadian banjir kilat, pemilikan tanah yang tidak dapat dikenal pasti dan masalah sampah yang tidak diurus dengan baik.
“Fokus pembangunan yang dirancang akan meliputi 70 peratus projek perumahan dan 30 peratus sahaja untuk pembangunan komersial, manakala 50 peratus dari bilangan unit kediaman yang bakal dibina nanti, adalah perumahan mampu milik bagi membolehkan orang Melayu membeli dan memiliki hartanah kampung tersebut.
“Pelan pembangunan semula ini dijangka akan mengambil masa selama 30 tahun untuk siap sepenuhnya dan kami menyasarkan pada tahun 2050, penduduk kampung ini akan bertambah menjadi 160,000 orang penduduk dengan penambahan unit rumah kelak,” katanya lagi.