Buat pertama kalinya video dan gambar-gambar mengenai tanah runtuh berjaya dirakam di negara seperti insiden yang berlaku di Lestari Perdana, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan pada 24 Jun lalu.
Kini gambar dan video mengenainya menjadi tular dalam kalangan orang ramai.
Video itu menunjukkan bagaimana tanah di tepi jalan itu tiba-tiba mendap dan runtuh.
Ekoran itu, kereta yang diletak di situ jatuh ke dalam jurang sebelah jalan dan orang yang berada di sekitarnya lari bertempiran.
Sementara itu, Kerajaan Negeri Selangor mengadakan perbincangan bagi membantu pemilik kereta yang terjejas ekoran mendapan tanah di situ semalam.
Exco Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata pertemuan bersama unit pengurusan bencana negeri di bawah portfolio Datuk Menteri Besar diadakan petang ini, lapor Sinar Harian.
“Kereta terjatuh dalam longkang ini mempunyai tuannya memandangkan ia sedang dibaiki pihak bengkel, jadi kita lihat langkah yang akan diambil,” katanya selepas melawat lokasi kejadian.
Ir Izham berkata perbincangan bersama Majlis Bandaraya Subang Jaya serta pejabat daerah dan tanah juga akan diadakan dalam masa terdekat bagi menyiasat punca insiden selain mengambil langkah jangka panjang.
Beliau menjelaskan kejadian semalam lebih teruk berbanding 2018 berikutan terdapat pergerakan tanah.
“Kita perlu buat siasatan tanah bagi melihat punca sebenar sebelum laksana pengukuhannya untuk tempoh jangka panjang,” katanya.
Semalam, media melaporkan sebanyak lima kenderaan yang diletakkan di tepi Jalan LP 1A/2 Lestari Perdana rosak selepas tanah mendap berlaku di kawasan terbabit.
Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden berkenaan.