Tinjauan Malaysia Dateline bersama Parti Amanah Negara (Amanah) di beberapa kampung di pedalaman Sik, Kedah pada 23 dan 24 Januari lalu menyaksikan masih ada lagi tandas penduduk yang hanya berdindingkan dua keping zink atau sekadar dilindungi kanvas.
Mengulas penemuan yang mengejutkan itu, Jawatankuasa Amanah Nasional, Mazlan Aliman mempersoalkan di mana fungsi jabatan dan agensi kerajaan berwajib
ketika Perdana Menteri melaungkan Malaysia akan mencapai status negara maju kurang empat tahun lagi dengan rakyat kononnya berpendapatan tinggi.
“Kita ada berpuluh-puluh jabatan, agensi kerajaan selain jawatankuasa itu dan ini dari Putrajaya sampai peringkat negeri dan daerah tapi mereka ini semua telah, sedang dan akan buat apa?
“Masih ada tandas berdindingkan zink dan kanvas. Bilik pula hanya digantungkan tabir walaupun anak ramai. Rumah bocor dengan anak-anak terdedah kepada ancaman kesihatan dan binatang berbisa.
“Ciri dan kemudahan asas yang tidak selesa itu sebenarnya gambaran jurang sosio-ekonomi yang begitu luas dalam masyarakat kita. Ini situasi yang amat mengecewakan ketika Putrajaya menggembar-gemburkan Malaysia tidak lama lagi bergelar negara maju. Walhal, Sik begitu jauh ketinggalan di belakang belum lagi ditinjau keadaannya di daerah dan tempat lain,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.
Mengulas lanjut, Mazlan berkata kerajaan pusat dan negeri melalui jabatan dan agensi berkaitan harus lebih kerap melakukan tindakan susulan bagi memastikan keseluruhan rakyat termasuk di kawasan pedalaman menikmati kualiti hidup lebih baik.
“Sepatutnya pendapatan rakyat termasuk penoreh getah sepadan dengan kos hidup pada masa ini serta kediaman mereka selesa bagi proses pembelajaran dan pembesaran anak-anak,” tegasnya.
Kerja kebajikan ‘bahasa’ sesuai di Sik
Sehubungan itu, beliau yang juga Pengerusi Biro Tanah dan Pembangunan Luar Bandar Amanah menyifatkan pendekatan bercorak kebajikan lebih praktikal
kepada masyarakat penoreh di Sik akibat tiadanya pembelaan daripada pihak kerajaan ketika harga getah di pasaran terlalu rendah.
Mazlan berkata, penduduk setempat yang selama ini sudah sedia hidup miskin bertambah susah akibat kenaikan harga barangan keperluan dan makanan kesan
daripada polisi kerajaan mutakhir ini termasuk pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sejak April tahun lalu.
Justeru ujarnya, usaha giat Amanah Parlimen Sik diterajui Sulaiman Ibrahim atau Leman Raja Lawan turun ke ceruk pedalaman mengenal pasti serta menyalurkan bantuan kepada keluarga daif tanpa mengira fahaman politik amat dihargai.
“Saya mengucapkan tahniah atas kesungguhan Leman Raja Lawan dan anak-anak buahnya dalam Amanah Sik kerana tampil mempraktikkan apa yang dilaung dengan pelbagai inisiatif membantu keluarga penoreh yang dihimpit kesusahan.
“Selama dua hari kami di Biro Tanah dan Pembangunan Luar Bandar Amanah bersama-sama mereka turun padang menghulur bantuan dan sumbangan kepada
keluarga miskin terbabit, jelas ‘bahasa’ yang sesuai di sini (Sik) ialah kebajikan memandangkan jumlah penduduk miskin tegar yang terlalu ramai,” tambahnya kepada Malaysia Dateline yang turut serta dalam aktiviti tersebut, Sabtu dan Ahad lalu.