Tangguh sementara AES sebelum keputusan muktamad dibuat

Oleh MALAYSIADATELINE

Sekretariat Protes AES (ProtAes) menggesa Kementerian Pengangkutan menangguhkan sementara perjalanan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di semua lokasi dan membatalkan semua saman-saman AES yang telah dikeluarkan sebelum ini sehingga suatu keputusan muktamad dibuat.

Timbalan Pengerusi ProtAes Muhammad Faiz Fadzil berkata, pelaksanaan AES mempunyai pelbagai isu dan masalah, bermula perlaksanaannya pada September 2012 dan kemudian dijenamakan semula oleh Menteri Pengangkutan sebelum ini pada April 2017 dengan Awas yang menggabungkan AES dan Sistem Mata Dimerit.

“Isu berkaitan AES tidak pernah reda. Daripada 14 lokasi kamera yang kemudiannya bertambah kepada 21 dan sekarang semakin membiak, isu AES masih tidak ditangani dengan jelas,”katanya.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana perjanjian di antara syarikat pengendali terdahulu iaitu Beta Tegap Sdn Bhd dan Ates (M) Sdn Bhd dengan kementerian yang mana kemudian pengendaliannya diambil alih oleh anak-anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dengan nilai RM555 juta.

“Bagaimana pula perjanjian di antara Kementerian dengan pengendali baru ini?

Bagaimana pula dengan saman-saman yang telah dikeluarkan sejak September 2012 yang kemudiannya dibekukan prosiding mahkamah oleh Jabatan Peguam Negara hingga hari ini? Bagaimana pula dengan saman-saman yang dikeluarkan setelah dijenamakan semula dengan nama AWAS?”soalnya dalam satu kenyataan kepada Malaysia Dateline.

Selain itu, katanya, pelaksanaan AES pada awalnya dikatakan hanya akan melibatkan lokasi kemalangan maut sahaja bagi mengurangkan jumlah kemalangan maut di atas jalan raya dan lebuh raya.

Tetapi sehingga hari ini katanya, tiada sebarang data yang diberikan berkaitan kemalangan maut di lokasi pemasangan kamera AES ini.

Jika dilihat sekarang, tambah beliau semakin banyak lokasi pemasangan kamera yang muncul sedangkan lokasi-lokasi tersebut tiada dalam senarai lokasi kemalangan maut yang dikeluarkan sebelum ini.

“Persoalannya adakah pemasangan kamera dibanyak lokasi ini kerana terdapat perjanjian bahawa Kementerian akan membayar kepada pengendali bagi setiap pemasangan?

“Dalam jawapan Kementerian di Dewan Rakyat sebelum ini dinyatakan bahawa pengendali akan dibayar melalui dua kaedah iaitu ‘fee’ tetap dan ‘fee’ boleh ubah,”ujarnya.

Pada 12 Jun 2018 Menteri Pengangkutan Anthony Loke dilaporkan sebagai berkata pegawai Kementerian Pengangkutan dan jabatan-jabatan berkaitan akan menyediakan cadangan konkrit tentang perlaksanaan AES dan beliau akan membincangkan opsyen dengan para pegawai tersebut sebelum membawa perkara itu ke Kabinet.

Sebarang keputusan berkaitan AES hanya akan diumumkan dalam satu atau dua bulan selepas perkara itu dibawa ke Kabinet.

Justeru, ProtAes menyambut baik pengumuman tersebut tetapi dalam masa yang sama mencadangkan agar kementerian mendapatkan juga pandangan daripada pihak luar selain dari dalam Kementerian berkaitan perlaksanaan AES ini.