Pengundi-pengundi Johor mempunyai tanggungjawab besar bagi menentukan masa depan bukan saja negeri itu tetapi juga negara.
Tanggungjawab yang serupa pernah diberikan kepada pengundi Melaka, Sarawak dan Sabah sebelum ini tetapi mereka memilih untuk kembali kepada zaman Barisan Nasional.
Suatu zaman yang dihentikan oleh Pakatan Harapan pada tahun 2018. Kebanyakan pengundi Melaka, Sarawak dan Sabah memberi kemenangan kepada calon BN atau sekutunya bagi kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri masing-masing.
Pengundi Melaka menghulur kuasa kepada BN walaupun dalam pilihan raya tahun 2018, mereka memilih PH. Di Sarawak, mereka memilih Gabungan Parti Sarawak yang asalnya merupakan BN Sarawak. Di Sabah, mereka beralih dari Warisan kepada Gabungan Rakyat Sabah yang di dalamnya terdiri daripada BN dan Perikatan Nasional.
Kemenangan BN dan sekutunya itu menaikkan semangat parti itu untuk menang di Johor. Kalau Sarawak dan Sabah bukan merupakan kemenangan langsung bagi BN, tetapi Melaka memberi cahaya cerah bagi parti itu untuk memenangi Johor dan seterusnya meneraajui kerajaan persekutuan dalam Pilihan Raya Umum ke-15.
Ini kerana, Johor adalah seperti Melaka, cumanya ia lebih besar. Kedua-duanya kubu Umno dan orang Cina yang mengundi DAP tinggal di bandar dan dianggap akan terus menjadi pembangkang. Keputusan PRU-14 dilihat sebagai suatu pengecualian dan tidak akan berulang.
Melaka sudah kembali pada BN, begitu juga, keadaan itu diharapkan kepada Johor dan seterusnya Malaysia. Maka pengundi Johor ada pilihan, sama ada hendak mengikut jejak rakyat Melaka, Sarawak dan Sabah untuk kembali kepada keadaan sebelum PRU ke-14, atau meneruskan usaha bagi mengubah negara yang sudah dimulakan dengan kemenangan PH tetapi terbantut akibat pengkhianatan.
Banyak orang mungkin mahu kembali pada suasana kestabilan politik sebelum PRU ke-14 di mana BN mempunyai kerusi yang mencukupi untuk memerintah bagi melaksanakan dasar dan agenda mereka tanpa bimbang dijatuhkan kerana tarikan sokongan ahli parlimen sekutunya.
Itulah antara sebab mungkin pengundi Melaka memilih BN dan itu juga yang diharapkan oleh Umno Johor. Walaupun hakikatnya ketidakstabilan politik Melaka berpunca dari orang Umno juga Ini kerana pilihan raya negeri Johor tidak sepatutnya diadakan kerana kerajaan negeri tidak tumbang. BN hanya mahu mengukuhkan kedudukan untuk menyingkirkan PN.
Tetapi keadaan sekarang sudah berubah. Negara dan rakyat Malaysia sudah berbeza daripada dulu. BN juga sudah berlainan. Johor juga adalah jelas berbeza daripada Melaka, Sarawak dan Sabah. Malah Johor pra-2018 adalah berlainan daripada Johor pasca 2018.
Pertamanya, dunia hari ini tidak seperti dahulu. Covid-19 sudah mengubah banyak perkara. Dunia, Malaysia dan Johor tidak dapat meneruskan keadaan seperti dahulu. Mereka memerlukan ahli-ahli politik yang lebih kreatif dari parti selain BN.
Orang lama dan pengundi tegar BN mungkin mengimpikan keadaan kembali pada sebelum PRU ke-14. Tetapi banyak orang sudah tidak terima cara lama. Sebab itu BN kalah dalam PRU ke-14. Sekarang ini pun BN dapat kuasa kerana melanggar mandat rakyat dengan tindakan pengkhianatan ahli politik yng merupakan bekas Umno dalam PH sebelum ini.
Penyokong BN menganggap bahawa pemerintahan Umno sejak merdeka adalah terbaik dan patut dikembalikan. Tetapi bagi banyak orang, walaupun bukan kebanyakan tidak menganggap demikian.
Umno tidak berjaya sepenuhnya dalam usaha perpaduan, pembangunan, pendidikan, kebudayaan, keselamatan dan pelbagai bidang lain. Apa yang dikatakan pencapaian dilihat sebagai kegagalan. Selama ini perkara ini tidak kelihatan kerana media massa dikuasai kerajaan.
Tetapi selepas PH mentadbir, media massa menjadi kurang berpengaruh. Media sosial dan internet membolehkan rakyat tahu banyak perkara hinggakan sebarang kegagalan dapat didedahan segera.
Bukanlah banyak orang tidak mengiktiraf perkara-perkara yang dicapai oleh kerajaan BN, lebih-lebih lagi apabila dibandingkan dengan negara-negara membangun lain. Tetapi sebahagian besar rakyat negara ini beranggapan Malaysia sepatutnya boleh menjadi lebih baik lagi. Dan rakyat berhak untuk itu. Punca kegagalan itu adalah pada BN juga.
Kedua, BN sendiri juga sudah berubah. Ia menjadi kecil dan kembali seperti Perikatan iaitu ia dianggotai oleh Umno, MCA dan MIC.
Tetapi Perikatan dahulu kuat kerana antara lain ia mempunyai pemimpin besar iaitu Tunku Abdul Rahman. Tetapi sekarang Umno mempunyai pemimpin yang lemah hinggakan untuk menjadi perdana menteri, mereka terpaksa memilih naib Presiden.
Tetapi lebih utama lagi, persepsi rakyat terhadap Umno dan BN. Sebahagian besar rakyat melihat Umno sebagai parti korup, mengamalkan nepotismr dan kolusi. Sama ada terdapat bukti atau tidak, tetapi itulah imejnya. Kolusi itu bermaksud pakatan ahli-ahli politik dengan ahli perniagaan untuk mengaut keuntungan di atas perkara-perkara yang merugikan rakyat dan negara.
Sungguhpun begitu, ini tidak bermakna BN tidak boleh menang semula, baik di Johor atau di Malaysia. Kalau kebanyakan pengundi boleh menganggap amalan korupsi, nepotisme dan kolusi sebagai suatu perkra kecil, maka BN akan dapat meraih kembali undi.
Lebih-lebih lagi jika para pengundi dapat diyakinkan bahawa orang Melayu-Islam terancam dengan DAP. Ketika PH memerintah, sememangnya gagasan Melayu-Islam dikumandangkan oleh gabungan Umno-Pas. Isu ini juga dikatakan sebagai punca mengapa Bersatu keluar PH dan menjatuhkan kerajaan mereka sendiri. Kerajaan PN-BN-GPS itu sepatutnya merupakan kerajaan Melayu-Islam tetapi ternyata ia tidak begitu.
Nilai-nilai Melayu-Islam yang baik jelas tidak ditonjolkan. Tetapi akhirnya kerajaaan PN-BN dan kemudiannya BN-PN sibuk dengan perbalahan sesama sendiri. Bukan saja Umno dan Bersatu bercakaran, tetapi juga antara Umno-Pas. Adakah itu nilai Melayu-Islam?
Ketiga, pengundi Johor sudah berubah dengan penyertaan anak-anak muda berusia 18 tahun ke atas. Usaha supaya mereka dapat mengundi dibuat semasa PH menjadi kerajaan. Ia dilaksanakan sebagai sebahagian daripada janji memorandum persefahaman antara PH dan kerajaan BN-PN.
Sebahagian besar anak-anak muda itu mungkin tidak tuun mengundi. Sementara yang mengundi pula antaranya tidak mengetahui mengenai politik. Mereka mungkin memilih seseorang calon dan parti hanya berdasarkan pada pengalaman peribadi, umpamanya mendapat pemberian sesuatu barang atau pertolongan kecil.
Sementara ada pengundi yang mungkin rasa muak dengan pebalahan ahli-ahli politik dan kecewa bahawa mereka tidak dapat menangani masalah rakyat terutama pada era Covid-19 ini, khususnya berkaitan ekonomi, akibatnya mereka tidak turun mengundi.
Menurut pandangan umum para pemerhati, jika bilangan pengundi rendah, seperti mana apa yang berlaku di Melaka, maka BN akan menang. Ini kerana diandaikan bahawa penyokong BN adalah pengundi tegar. Tetapi pengundi PH tahun 2018 tidak tegar.
Mereka mudah berubah. Akhirnya, terpulang kepada pengundi Johor, yang lama dan baharu untuk menentukan kerajaan negeri mereka. Itulah tanggungjawab besar mereka.
Sesiapapun yang mereka undi, akan akhirnya mencorakkaan politik negara pada PRU ke-15. Bagi orang muda, siapa yang mereka undi atau tidak akan memberi kesan untuk lima tahun akan datang. Bagi orang bersara, mereka mengundi mungkin berdasarkan pada pengalaman panjang mereka.
Tetapi siapa yang mereka undi sepanjng hayat mereka itulah yang mencorakkan keadaan negara hari ini, yang mana kini ramai tidak puas hati.