Tanggungjawab media lapor kelemahan kerajaan, kata Ketua Menteri

Oleh MALAYSIADATELINE

Media mempunyai peluang serta tanggungjawab untuk melaporkan dan mendedahkan kelemahan yang mereka dapati berlaku agar masalah yang ditonjolkan itu dapat dicari penyelesaiannya.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem berkata media tidak boleh berdiam diri apabila mendapati wujudnya ancaman dalam masyarakat, atau lebih teruk lagi, memilih untuk “menafikan kewujudannya” dan enggan berbuat sesuatu mengenainya.

Katanya, sama ada sesuatu perkara itu berkaitan kesedaran tentang alam sekitar atau pendedahan mengenai sesuatu penyelewengan, termasuk dalam kerajaan, media berperanan untuk melaporkannya kerana kerajaan sendiri menggalakkan mereka berbuat demikian.

“Cuma, apa yang kami mahu daripada anda (media) ialah bersikap adil dalam laporan anda dan kami akan menyokong anda,” katanya pada majlis penyampaian Anugerah Kewartawanan Kenyalang anjuran Persekutuan Persatuan Wartawan Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini malam tadi.

Turut hadir, Menteri Kewangan Kedua Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh, ketua pegawai eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Dr Chamil Wariya dan ketua pengarang Bernama Datuk Zakaria Abd Wahab.