Tanpa pindaan di Parlimen pengumuman PM hanya retorik di PAU untuk sokongan politik

Oleh NASUHA RAHMAN

Tanpa pindaan di Parlimen pengumuman Perdana Menteri berhubung tindakan membekukan akaun suami culas bayar nafkah isteri diceraikan hanya retorik di Perhimpunan Agung Umno (PAU).

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, Datuk Seri Ismail Sabri dilihat hanya beritorik bagi mendapatkan sokongan politik sedangkan ia perlu dipinda di Parlimen terlebih dahulu.

Katanya, Ismail hanya perlu rujuk kepada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang telah pun memulakan usaha ini semasa dasar Islam Rahmatan Lil Alamin diperkenalkan pada tahun 2018.

Tanpa pindaan di Parlimen pengumuman PM hanya retorik di PAU untuk sokongan politik
Dr Mujahid Yusof Rawa

“Salah satu inisiatif memartabatkan Mahkamah Syariah semasa saya diamanahkan bawah kerajaan PH ialah memastikan tindakan susulan keputusan Mahkamah Syariah terhadap isteri yang diceraikan dapat dikuatkuasakan. Ini termasuk membekukan akaun suami yang culas termasuk tuntutan KWSP suami,” katanya.

Menurut Mujahid, yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar setakat ini keputusan Mahkamah Syariah di bawah akta Kementerian Kewangan tidak tersenarai sebagai keputusan yang terikat di bawah akta.

Tambahnya, keputusan Mahkamah Syariah seolah tidak diiktiraf bagi tindakan kuatkuasa dan ini sangat menyedihkan kerana ia menjejaskan hak para isteri yang diceraikan tanpa pembelaan terhadap keperluan nafkah mereka.

“Semua kes cerai melibatkan umat Islam ditentukan keputusan penghakimannya oleh Mahkamah Syariah di seluruh negara.

“Pihak Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bawah Menteri Agama telah dipertanggungjawabkan untuk berunding dan menyelaras dengan bahagian undang-undang Bank Negara dan Kementerian Kewangan supaya dibuat pindaan bawah Kementerian Kewangan.

“Inisiatif ini bagi menjaminkan keputusan Mahkamah Syariah diktirafi secara berakta untuk tindakan membekukan akaun suami yang gagal memenuhi nafkah yang diputuskan oleh Mahkamah Syariah,”ujarnya.

Beliau berharap Perdana Menteri yang isytiharkan tindakan membekukan akaun suami yang culas membayar nafkah isteri yang diceraikan perlu ada komitmen untuk buat pindaan di parlimen supaya akta bawah Kementerian Kewangan mengiktirafi keputusan Mahkamah Syariah terlebih dahulu.

Baca juga: https://malaysiadateline.com/lim-kit-siang-seorang-berprinsip-setiakawan-dan-pemikiran-tajam-dalam-politik/