Pesuruhjaya PAS Selangor menyenaraikan sekurang-kurangnya 10 pihak yang berhak untuk memaafkan Umno selepas empat hari Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan menyatakan kesediaan PAS untuk memaafkan kesalahan yang pernah dilakukan Umno terhadap parti Islam tersebut.
Datuk Ir Iskandar Abdul Samad menegaskan bukan keputusan mana-mana pimpinan untuk memaafkan banyak kesalahan parti berkenaan sebaliknya “mangsa-mangsa kezaliman dan penindasan Umno itu sendiri” yang wajar berbuat demikian.
“Mungkin juga keluarga-keluarga mereka jika mereka tiada lagi di dunia ini. Siapakah mereka? Ramai sekali. Bekas tahanan-tahanan ISA. Mangsa peristiwa Memali. Peneroka bandar yang dirobohkan rumah mereka.
“Penjaja dan peniaga yang dirobohkan gerai dan warung mereka kerana menyokong pembangkang. Pelajar-pelajar yang dinafikan biasiswa kerana datang dari keluarga yang menyokong pembangkang,” ujar Adun Chempaka berkenaan di laman Facebook beliau hari ini.
Iskandar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri Selangor itu turut menyebut golongan petani dan peladang yang ditahan subsidi dan bantuan kerana menyokong pembangkang, seluruh rakyat Kelantan dan Terengganu yang tidak mendapat royalti petroleum serta rakyat yang dinafikan hak membeli rumah kos rendah kerana bukan ahli Umno sebagai mangsa yang berhak untuk memaafkan kezaliman Umno.
Mengakui senarai berkenaan terlalu panjang untuk dinyatakan, beliau turut menyebut mereka juga merangkumi penduduk kampung yang tidak mendapat jalan berturap dan lampu jalan kerana menyokong pembangkang serta penjawat awam yang dipindahkan atau ditahan kenaikan gaji kerana menyokong pembangkang.
Dalam hal berkaitan, ketika banyak pihak memperkatakan tentang spekulasi kerjasama antara Umno dan PAS, Iskandar mengingatkan ahli-ahli partinya supaya mendekati ahli Umno bukan kepada parti tersebut.
“Tawaran persahabatan yang dihulurkan adalah kepada ahli-ahli Umno. Saya yakin ramai dari mereka yang tertunggu-tunggu untuk keluar dari Umno dan PAS mesti membuktikan mereka adalah alternatif yang meyakinkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pemimpin PAS dilihat berbeza pandangan mengenai penyatuan Umno-BN ketika Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah duduk sepentas berpakaian sedondon dan berbual mesra dengan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak, di persidangan Multaqa Serantau Al-Azhar Malaysia, 17 Disember lalu.
Terdapat pemimpin bersuara keras dengan menggesa ahli PAS yang berhasrat untuk bergabung dengan Umno supaya meninggalkan parti itu seperti ditegaskan Naib Presiden PAS, Idris Ahmad, kelmarin.