Tarikan utama dirobohkan, Cameron Santorini rupanya dibina tanpa kebenaran

Oleh MAISARAH AISYA

Ramai berpusu-pusu untuk pergi ke Cameron Highlands untuk menikmati pemandangan indah ala-ala berada di Santorini dengan pembinaan yang sangat cantik.

Namun segalanya hancur apabila ia dirobohkan disebabkan sikap berani pemilik Cameron Santorini melakukan pembinaan tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan.

Operasi perobohan itu diketuai Yang Dipertua Majlis Daerah Cameron Highlands, Azmil Hadid Maznan dan dilaksanakan pada 5 Ogos bermula pukul 9 hingga 11.30 pagi.

Ia turut disertai Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Jabatan Kerja Raya Cameron Highlands dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Cameron Highlands.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Majlis Daerah Cameron Highlands, tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan atas kesalahan Seksyen 70 (1).

Ini adalah berdasarkan kesalahan pembinaan tanpa kelulusan di bawah Akta 133, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.

“Semoga tindakan penguatkuasaan ini dapat menjadi iktibar dan peringatan kepada mana-mana pihak yang berhasrat melaksanakan projek pembangunan.

“Pihak tersebut perlu mematuhi sepenuhnya prosedur dan peraturan berkaitan semasa yang berkuatkuasa,” katanya dalam kenyataan berkenaan.

Pada masa sama pihak berkuasa juga akan mengeluarkan kompaun terhadap pembinaan bangunan yang tidak mendapat kebenaran termasuk tiada kebenaran merancang.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Azri Ramli berkata, operasi yang dilaksanakan berkenaan berjalan dengan baik dan lancar.

“Tiada kekecohan dan tiada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku sepanjang tindakan penguatkuasaan dilaksanakan dan kawasan berkenaan kini ditutup,” ujarnya.

Baca juga: Rezeki terpijak! Cuma jual keratan batang pokok, suri rumah berjaya raih RM5,000 dalam tiga minggu