Tauke 99 Speed Mart kini masuk dalam Senarai Bilionair Forbes 2025

Oleh KIM SYAZIE

Pengasas rangkaian kedai runcit, 99 Speed Mart, Lee Thiam Wah membuat kejutan apabila disenarai sebagai individu keempat terkaya di Malaysia dengan nilai bersih sebanyak AS$3.7 bilion (RM17.6 bilion).

Thiam Wah, 61, antara 19 rakyat Malaysia yang tersenarai dalam Senarai Bilionair Forbes 2025, menurut Sinar Harian.

Pada 9 September 2024, 99 Speed Mart telah disenaraikan di Bursa Malaysia dengan harga penyenaraian awam permulaan (IPO) RM1.65 sebelum saham syarikat itu melonjak hampir 50 peratus menjelang akhir tahun, sekali gus menutup tahun pada harga RM2.47 dengan nilai pasaran mencecah RM20.7 bilion.

Thiam Wah membuka kedai pertama beliau pada tahun 1987 di bandar pelabuhan Klang, sebelum menjualnya dan menubuhkan rangkaian Pasar Mini 99 pada tahun 1992.

Pada tahun 2000, beliau menggabungkan rangkaian kedainya yang semakin berkembang di bawah jenama 99 Speedmart, yang kini berkembang dengan hampir 2,700 cawangan.

Individu terkaya di Malaysia pada tahun ini kekal milik Robert Kuok, 101, dengan nilai bersih sebanyak AS$12.1 bilion (RM55.8 bilion), diikuti Tan Sri Quek Leng Chan dari Hong Leong Group dengan nilai bersih sebanyak AS$9.9 bilion (RM44.5 bilion).

Ketua Pegawai Eksekutif Press Metal Aluminium Holdings Bhd, Tan Sri Paul Koon pula menduduki tempat ketiga terkaya di Malaysia, manakala di kedudukan 868 di dunia dengan nilai kekayaan sebanyak AS$4.2 bilion (RM18.8 bilion).

Turut berada dalam Senarai Bilionair Forbes 2025, Tan Sri Jeffrey Cheah dari Sunway Group memiliki nilai bersih sebanyak AS$3.5 bilion (RM15.6 bilion) yang menjadi individu kelima terkaya di Malaysia.

Antara tokoh lain termasuklah, dua beradik, Datuk Lee Yeow Chor, 58, dan Lee Yeow Seng, 47, dari konglomerat perladangan dan hartanah IOI Group dengan nilai bersih masing-masing sebanyak AS$3.1 bilion (RM13.7 bilion) dan AS$2.3 bilion (RM10.6 bilion).

Tokoh korporat, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, 73, menduduki tangga kelapan terkaya di Malaysia dengan nilai bersih sebanyak AS$2.2 bilion (RM9.7 bilion), diikuti Tan Sri Lim Kok Thay dari Genting Group dengan AS$1.8 bilion (RM7.7 bilion).

Baca juga: Anak-anak raya dengan bekas suami, Diana Danielle pilih luangkan masa untuk diri sendiri