Tabiat pelakon sensasi, Aliff Aziz yang masih tidak berubah selepas beberapa kali dihimpit kontroversi kemungkinan berpunca daripada masalah mental.
Pandangan tersebut dikongsikan oleh Presiden Persatuan Seniman Negara (SENIMAN) iaitu Zed Zaidi menerusi satu sesi temu bual bersama media hiburan tempatan, HLive.
Berdasarkan sesi yang turut dimuat naik di laman Instagram milik HLive itu, Zed Zaidi turut menafikan bahawa masalah dialami Aliff ini dipengaruhi oleh faktor persekitaran dalam industri hiburan.
Sebaliknya, semua berpunca daripada Aliff sendiri yang tidak bermuhasabah diri dan kembali mengulangi ‘kekhilafan’ sehingga ditangkap khalwat bersama rakan artis iaitu pelakon, Ruhainies.
Pihak SENIMAN bagaimanapun bersedia untuk membantu sekiranya aktor lelaki terbabit memerlukan bantuan dari segi kesihatan mental dengan menyediakan pakar psikologi dari persatuan tersebut.
“Jika dilihat dari sudut kronologi tentang sikapnya, sudah banyak kali kejadian yang lebih kurang sama berulang lagi. Abang lihat dia lebih kepada masalah diri sendiri, bukannya masalah industri.
“Aliff kena muhasabah diri. Sekiranya dia rasa ada masalah gangguan mental, SENIMAN boleh bantu menyediakan pakar psikologi. Kita bukan tuduh dia (sakit mental), tetapi ia berdasarkan kronologi.
“Jadi, saya bertanggapan Aliff ada isu psikologi dari perkara yang berulang kali berlaku di dalam hidup dia sebelum ini. Kita ada kaunselor, doktor psikologi yang boleh membantu,” kata Zed Zaidi.
Sementara itu, Zed Zaidi yang pernah bergelar pelakon itu memberitahu pihak persatuan belum mengambil tindakan terhadap Aliff kerana kes tangkapan khalwat tersebut masih dalam siasatan.
SENIMAN difahamkan hanya melakukan tindakan lanjut yang diselarikan dengan mahkamah sekiranya pelakon kelahiran Singapura itu benar-benar didapati bersalah dalam perbicaraan kelak.
Terdahulu, bapa kepada dua anak itu telah memuat naik satu kenyataan rasmi bersama Ruhainies di akaun Instagram masing-masing mengenai ‘kisah sebenar’ yang berlaku pada malam tangakapan khalwat, Sabtu lalu.
Baca juga: Bagi alasan makan malam punca ada dalam rumah Ruhainies, Aliff Aziz akhirnya keluarkan kenyataan