Telefon Tok Siak hilang dikebas ketika solat, terharu tengok jemaah ‘suprise’ beli yang baru

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular satu rakaman memaparkan seorang lelaki berusia yang bertugas sebagai Siak di sebuah surau di Bandar Baru Bangi, Selangor menerima kejutan dari para jemaah.

Dalam rakaman berdurasi satu minit itu, siak berkenaan dilihat begitu terkejut sebelum menangis terharu sebaik membuka bungkusan berisi kotak yang mengandungi sebuah telefon pintar.

Rupa-rupanya, Siak yang dikenali sebagai Wak Ismail itu baru sahaja mengalami kehilangan telefon bimbit selepas biliknya dipecah masuk ketika sedang mengerjakan solat Isyak.

Para jemaah terdiri daripada barisan pemuda kemudian mengambil inisiatif untuk mengutip sumbangan sesama mereka untuk membeli telefon pintar baharu buat Siak dan membuat kejutan ketika menyerahkannya.

Hal ini kerana kehilangan tersebut telah menghalang Siak melakukan rutinnya setiap malam iaitu menghubungi keluarganya yang berada di negara seberang untuk mengubati rindu.

Salah seorang jemaah sempat merakamkan acara kejutan yang cukup mengharukan itu sebelum dikongsikan menerusi satu hantaran tular di akaun TikTok miliknya, @yedowski.

@yedowski_

Our Siak, Wak Ismail. @SurauAlkauthar

♬ original sound – zayed. – zayed.

“Bilik Wak telah dipecah masuk semasa solat Isyak dan telefon bimbit miliknya dicuri. Rutinnya setiap malam, dia akan menghubungi keluarganya yang jauh berada di Indonesia.

“Jadinya kami barisan pemuda berpakat untuk mengutip sumbangan buat Siak. Terlalu banyak jasanya kepada masyarakat setempat dan Surau Al-Kauthar,” tulis pemilik akaun dalam keterangan video.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna tidak dapat menahan sebak dan turut merasa terharu apabila melihat lelaki berusia berkenaan menangis.

Ramai juga pengguna menzahirkan ucapan terima kasih kepada orang-orang baik iaitu mereka yang mengambil inisiatif menyumbangkan telefon selain mengirimkan doa buat pemberi dan penerima sedekah.

“Nampak terkejut betul malah terus menangis. Sepertinya tangisan kegembiraan dan rasa lega sangat sebab dapat menghubungi keluarganya yang jauh di seberang,” kata seorang pengguna.

“Alhamdulillah. Semoga penderma dimurahkan rezeki. Amin. Mesti Tok Siak ini orang yang komited dengan tugas dan menghidupkan surau. Siru ‘ala Barakatillah (Bergeraklah dengan diiringi keberkatan dari Allah SWT).” Kongsi pengguna lain.

Baca juga: Terima anugerah pertama di usia 84 tahun, A. Galak terharu diberi pengiktirafan