Telekung sebesar saiz kanopi dengan kain meleret di lantai yang dipakai Datuk Seri Vida ketika menunaikan solat tarawih di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, kelmarin menjadi bualan pengikutnya di sosial media.
“Alhamdulillah, solat terawih pertama malam ini. Salam Ramadan dari saya. Selamat berpuasa semua umat Islam,” tulis usahawan kosmetik itu.
Hantarannya itu mengundang pertikaian warga maya yang menganggap pemakaian telekung terlalu panjang dibimbangi boleh mengganggu orang lain mahu solat bersama.
Malah, ada yang berani menegur tindakan usahawan itu apabila mendakwa Vida berbuat demikian semata-mata demi ‘content’ dan mahu meraih perhatian.
Telekung yang dipakainya dilihat bersaiz terlalu besar ukuran diameternya sama seperti rekaan busana yang pernah dipakainya ketika muncul di acara Gempak Most Wanted 2022 pada Februari lalu.
Yang mencuit hati adalah komen-komen netizen dalam ruangan komen hantaran di Instagramnya itu.
“Sah ke, solat pakai kanopi?” soal seorang netizen.
“Saf belakang sujud. Bila bangun dari sujud, dah masuk alam lain,” tulis netizen lain.
“Ini, kalau saya beli, makcik, nenek saya pun boleh tumpang telekung sekali,” tulis seorang lagi netizen.
Dalam video yang dimuat naik, Vida kelihatan sedang berdiri di ruang legar depan pintu masuk utama masjid itu, lengkap bertelekung putih bersaiz besar itu.
Namun, berdasarkan pengamatan, video itu mungkin bukan video yang diambil semalam memandangkan tidak ramai jemaah lain yang berada di situ, tidak seperti malam pertama solat tarawih.