Temerloh, Bentong antara yang teruk di Pahang

Oleh BORHAN AHMAD

Selain Taman Sri Muda, Shah Alam dan Hulu Langat, Selangor, Temerloh dan Bentong di Pahang kini juga teruk berhadapan dengan banjir.

Namun kelebihan Temerloh dan Bentong adalah pengalaman dan ia adalah fenomena biasa berbanding dengan Shah Alam dan Hulu Langat.

Banjir di Pahang kali ini melibatkan Kuantan, Indera Mahkota, Paya Besar, Maran, Jerantut, Raub, Bentong dan Temerloh.

Pekan sedang bersedia menunggu banjir (limpahan air dari Pahang Barat mengalir ke Pekan melalui Sungai Pahang sebelum ke laut).

Laluan ke Pahang melalui Lebuhraya Karak kini ditutup sepenuhnya sejak Sabtu akibat tanah runtuh dan banjir lumpur.

LPT 1 pula ditutup sepenuhnya melalui Karak ke Temerloh kerana air masih melintasi lebuhraya itu di beberapa lokasi.

Banjir di sesetengah tempat di Temerloh kini sudah melepasi rumah dua tingkat. Bandar Mertakab dikatakan sudah penuh dengan air dan dikatakan tenggelam.

Selain masalah banjir, Temerloh dan Bentong kini berhadapan dengan masalah bekalan makanan yang terjejas teruk.

Ini kerana, satu-satunya laluan yang boleh sampai ke Temerloh dari Kuala Lumpur kini adalah melalui Kuala Pilah – Muadzam Shah – Gambang (Kuantan) – Maran – Temerloh.

Manakala untuk ke Bentong juga melalui Kuala Pilah – Pelangai – Karak.

Namun ia tidak menghalang para pemimpin politik untuk ke Temerloh bagi menghulurkan bantuan. Antaranya Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahudin Ayub yang kini dalam perjalanan ke Temerloh.

Menurut sumber, bekalan makanan di kedai-kedai agak terhad disebabkan jalan terputus ini.