Baru-baru ini tular satu rakaman memaparkan dua orang pemuda memperlihatkan keadaan ‘mini chalet’ ditempah mereka sebagai tempat penginapan ketika berkunjung di Cameron Highlands, Pahang.
Mana tidaknya, chalet yang ditempah di pusat peranginan tanah tinggi itu dilihat begitu kecil hinggakan salah satu daripada pemuda berkenaan secara spontan menyifatkan bilik penginapan tersebut seperti reban ayam.
Berdasarkan satu hantaran yang dimuat naik di platform TikTok, pemuda terbabit memaklumkan bahawa chalet itu ditempah tanpa menyemak ulasan ditinggalkan oleh pelanggan yang pernah menginap di situ sebelum ini.
Mengakui terkejut, mereka berdua bagaimanapun hanya mampu bergelak ketawa mengenangkan kesilapan sendiri seperti yang dapat didengari di dalam rakaman berdurasi 39 saat itu.
“Apabila membuat tempahan tanpa menyemak ‘review’ (ulasan) terlebih dahulu. Macam inilah jadinya. Kawan ini sudahlah besar (badannya). Terkejut apabila sampai,” katanya dalam perkongsian itu.
Menerusi rakaman tersebut, dapat dilihat saiz penginapan itu sememangnya kecil seperti namanya iaitu ‘mini chalet’ yang hanya boleh memuatkan satu tilam sahaja tanpa ruangan tambahan mahupun perabot lain.
Walau bagaimanapun, kemudahan asas seperti surau dan tandas juga turut disediakan di bahagian luar berdekatan bilik penginapan namun perlu berkongsi dengan orang ramai yang menginap di chalet berkenaan.
Pengunjung wanita beragama Islam juga perlu menjaga aurat dan sentiasa menutup pintu memandangkan bilik yang banyak dibina di dalam jarak dekat menyebabkan orang ramai bebas berlalu-lalang.
Dalam hantaran berikutnya, pemuda terbabit berkongsi detik mencuit hati apabila rakannya mengambil banyak ruang di dalam bilik tersebut sedangkan mereka berdua membayar dengan harga yang sama.
“Nak cuba tidur, boleh. Tetapi sesak sedikit sebab kawasan tumpuan di situ. Tandas perlu berkongsi. Cumanya boleh dengar orang berjalan dan berdengkur malam-malam sebab jaraknya agak rapat.” Kongsinya.
Baca juga: Masih belajar daripada kesilapan, Nora Danish akui bimbang dianggap ‘mulia’ oleh orang lain