Tempoh moratorium bauksit: Kenapa tidak libatkan ahli akademik?

Oleh MALAYSIADATELINE

Prof Dr Azizan Abu SamahMasalah serius pencemaran akibat aktiviti perlombongan bauksit di Kuantan yang perlu diselesaikan sepanjang tempoh penangguhan rasmi atau moratorium sejak 15 Januari lalu tidak melibatkan kerjasama dan kepakaran ahli akademik dalam bidang berkaitan, akui beberapa pakar penyelidik pada Forum Kajian Perlombongan Bauksit di Pahang.

Timbalan Pengarah Institut Sains Samudera dan Bumi (IOES) UM, Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah memberitahu pihaknya sendiri tidak dibawa berunding dalam mana-mana kumpulan panel bagi membolehkan satu pelan penyelesaian pencemaran dilaksanakan oleh kerajaan.

Forum yang dianjurkan bersama Universiti Malaya (UM) dan Akademi Sains Malaysia itu diadakan di Auditorium Institut Pengajian Tinggi, UM semalam.

Turut mengakui hal yang sama ialah Felow Penyelidik Universiti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu – Institut Antarabangsa Kesihatan Global (UNU-IIGH), Profesor Dr Jamal Hisham Hashim.

“Saya pun tidak tahu siapa pakar akademik yang duduk semeja bersama dalam apa saja jawatankuasa untuk memulihkan keadaan dan mencari mekanisme terbaik untuk mengelak masalah sama berulang pada masa akan datang jika operasi melombong itu disambung selepas tempoh tiga bulan (moratorium) ini,” ujarnya.

Reaksi Prof Dr Jamal tersebut turut dikongsi pensyarah Fakulti Kejuruteraan Kimia Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr Maketab Mohamed yang sebelum itu mendedahkan kemungkinan ancaman penyakit berbahaya seperti Parkinson dan Alzheimer akibat pendedahan kepada persekitaran tercemar untuk jangka panjang.

Umum data pemantauan

Sehubungan itu, Dr Jamal menggesa supaya agensi dan jabatan kerajaan terlibat mengemukakan hasil pemantauan berkala mereka kepada media dan orang awam untuk penilaian bersama.

Prof  Dr Jamal Hisham Hashim“Pihak berwajib mesti tampil ke depan sebab segala data terkini ada pada mereka. Umumkan hasil pemantauan berkala mereka supaya rakyat tahu situasi sebenar tahap pencemaran yang berlaku,” ujarnya ketika menjawab soalan salah seorang peserta ketika sesi dialog.

Beliau turut menekankan aspek tata kelola yang baik sebelum banyak pihak bercakap soal pendekatan sains dalam usaha mengatasi masalah kritikal di lokasi perlombongan bauksit di Kuantan.

“Bagi saya kalau semua berjalan ikut peraturan, patuh pada ketetapan dan syarat yang ditentukan tidak berlaku banyak masalah sampai operasi melombong berlaku di luar kawalan,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, dalam fasa pertama pelaksanaan moratorium tersebut, kerajaan mengarahkan semua stok penyimpanan bauksit di Pelabuhan Kuantan dikeluarkan dan dibersihkan.

Bagi fasa kedua yang bermula 15 Februari lalu, dilaporkan semua pusat pengumpulan bauksit di sekitar pelabuhan itu mesti dikosongkan dan dihantar ke satu pusat pengumpulan sahaja.