Setiausaha agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor terpaksa membuka balik kelambu yang cuba dipasang untuk mesuarat agung Umno Disember ini selepas tekanan pelbagai pihak.
“Mereka (media) tidak akan mengeluarkan berita mengenai perkara penting yang saya cakap, tetapi mengambil benda yang boleh menimbulkan suasana sensasi seterusnya menyakitkan hati orang lain.”
Itu reaksi Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam sidang akhbar di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 1, semalam selepas membuat ‘u-turn’ menarik balik larangan kepada media untuk liputan sepanjang Perhimpunan Agung Umno itu bermula 8 Disember depan.
Kebenaran tersebut termasuk perbahasan perwakilan tanpa sebarang sekatan selepas mendakwa menerima maklum balas daripada perwakilan negeri termasuk mendengar suara ahli akar umbi yang mahu liputan secara langsung perhimpunan itu dilakukan.
Rabu lalu, Tengku Adnan memberitahu ahli Majlis Tertinggi Umno memutuskan tidak lagi dibenar untuk membuat liputan bagi sesi perbahasan oleh perwakilan Umno sama ada di dalam atau di luar dewan persidangan termasuk tidak lagi memancarkan perbahasan berlangsung dalam Dewan Merdeka pada paparan skrin.
Prejudis Umno kepada media juga dilihat begitu ketara apabila Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan
mendakwa terdapat sesetengah media atas talian yang suka memutar belit apa yang berlaku dalam persidangan parti itu.
Cadangan awal Umno sebagai parti pemerintah yang mahu mengadakan mesyuarat secara tertutup itu turut mengundang kritikan banyak pihak termasuk DAP yang memanggilnya sebagai mesyuarat dalam kelambu.
“Mesyuarat agung tahunan sesebuah parti politik seharusnya dijalankan secara telus dan terbuka, serta membenarkan liputan media massa. Ini kerana agenda sesebuah parti politik adalah bertunjangkan kepentingan orang ramai.
“Kecualilah kalau ada agenda tersembunyi yang mahu disorokkan daripada pengetahuan awam,” bidas Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng yang turut mempersoalkan kemungkinan jemputan kepada pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) lain dan duta-duta asing.
Menyifatkan pemimpin Umno dalam keadaan begitu terdesak mahu menyorokkan mesyuarat agung mereka yang selalunya mendapat liputan meluas media massa, Lip Eng menganggap tentu banyak isu sensitif yang mahu dirahsiakan daripada pengetahuan umum.
“Orang ramai juga pastinya tidak membantah sekiranya Perhimpunan Agung Umno mahu dijalankan dalam kelambu sekiranya Tengku Adnan Mansor, Setiausaha Agungnya berani mengakui bahawa agenda Perhimpunan Agung kali ini adalah berkait hal ehwal kepentingan keluarga dan kroni Umno dan bukan berkenaan kepentingan negara dan terutamanya bukanlah kepentingan orang Melayu yang kononnya dipelihara oleh Umno,” ujar Lip Eng yang juga seorang peguam itu lagi.
Dalam hal berkaitan, Perhimpunan Agung Umno tahun lalu menyaksikan kritikan banyak pihak termasuk mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir yang kecewa isu-isu penting seperti 1MDB tidak dibincangkan dengan serius oleh perwakilan.
“Bagaimana sikap mereka apabila Presiden Umno dan Perdana Menteri adalah orang di belakang 1MDB dan resolusi terhadap ekonomi telah digubal untuk pendebat?” soal Mahathir dalam satu tulisan di blog miliknya.
Walhal, Perhimpunan Agung Umno 2014 diuar-uarkan sebagai perhimpunan yang buat pertama kalinya menjadikan isu berkaitan kepentingan rakyat seperti Akta Hasutan dan sekolah satu aliran menjadi fokus utama perbahasan usul dan bukannya membincangkan masalah dalaman parti.