Kehidupan penduduk Kuantan yang terjejas teruk akibat perlombongan bauksit menarik perhatian pihak istana apabila Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar mahu tindakan tegas dikenakan ke atas pihak tidak bertanggungjawab.
Beliau dalam coretan di laman sosial Instagram miliknya, @tengku_puan_pahang semalam menulis ‘Lawan rakyat lawan’ serta memuat naik keratan laporan Utusan Malaysia kelmarin bertajuk, “Bauksit: Kabinet arah berhenti sementara.”
Mengakui rakyat berada dalam keadaan tidak selesa, beliau turut memberitahu telah banyak kali membangkitkan isu berkenaan bahkan kawasan sekitar kediamannya turut terjejas dengan mineral yang dieksport ke China itu.
“Berbuih sudah mulut saya ‘pok pek’. Saya ada rumah di Pantai Balok dan pantai di hadapan rumah saya juga merah. Pernah juga pelabuhan (Kuantan) membuang asid-asid ke dalam laut dan saya terpaksa henti cari kerang di pantai,” ujarnya.
Turut memuat naik beberapa lagi keratan akhbar mengenai pencemaran perlombongan bahan dasar pembuatan jenis logam aluminium itu, Tengku Puan Pahang mengakui situasi telah mencapai tahap yang tidak sewajarnya.
“Memang sudah berlebihan. Jangan salahkan kerajaan sahaja. Salahkan juga pengusaha yang haram, salahkan juga tuan punya tanah. Kita semua salah di sini,” tegasnya lagi.
Pemilik tanah buka jalan?
Dalam hal berkaitan, aktiviti perlombongan bauksit di Kuantan yang mengundang banyak masalah itu mulanya didorong oleh kebenaran pemilik tanah termasuk 71 peneroka Felda di Bukit Goh yang mengizinkan tanah mereka menjadi tapak melombong bijih itu.
Bahkan, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob sebelum ini mengakui wujud eksploitasi pengusaha bauksit ke atas sesetengah peneroka apabila ditawarkan sejumlah wang antara RM50,000 dan RM100,000 bagi membolehkan aktiviti melombong dilakukan di tanah milik mereka.
Pada masa sama, terdapat peneroka terbabit dilaporkan menerima notis daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan berhadapan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan kerana kesalahan melombong tanpa lesen atau pajakan tanah yang sah di bawah Enakmen Mineral 2001.