Tengku Razaleigh akui bukan calon Perdana Menteri

Oleh BORHAN AHMAD

Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah secara terus terang mengatakan pembabitannya lebih 50 tahun dalam politik tanah air bukan mahu menjadi Perdana Menteri.

Namun beliau tidak menolak bersedia menawarkan diri untuk sebarang jawatan sekiranya kudrat beliau mengizinkan.

“Saya masuk politik bukan nakkan jawatan dan nak jadi Perdana Menteri, takda. Tetapi saya sebagai rakyat biasa, menawar diri saya untuk apa saja jawatan, tugasan, tanggung jawab yang sedia diberi orang dan rakyat dengan apa yang boleh saya lakukan.

“Jika sesuatu yang diberikan kepada saya iaitu perkara yang tidak dapat saya lakukan secara sempurna saya tak sangguplah.

“Saya walaupun sudah cecah 78 tahun, saya masih lagi ‘mobile’ (sihat) tetapi saya tidak sanggup macam dulu berceramah satu malam enam hingga tujuh kali, bekejar ke sana bekejar ke sini.

“Ya, dulu saya sanggup kerana saya muda dan semangat belum pudar sebaliknya masih berkobar-kobar cuma tidak mempunyai kemampuan seperti masa saya muda dulu.

“Saya akan lakukan apa yang difikir patut dilakukan itu saja yang saya boleh berjanji setakat ini, dengan izin Tuhan,” ujarnya dalam Majlis Suaikenal Ikatan Cendekiawan Kelantan (icek) di Taman Tun Dr. Ismail, Isnin lalu.

Tengku Razaleigh berkata, demikian ketika menjawab soalan diajukan Profesor Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Jabatan Sains Politik, Universiti Sains Malaysia (USM) bertanyakan sama ada Tengku Razaleigh bersedia menjadi Perdana Menteri.

Ahmad Fauzi merujuk usaha yang pernah dilakukan beliau bersama universiti untuk mengumpulkan maklumat sekiranya Tengku Razaleigh calon sesuai menggantikan Najib.

Malah satu laporan media luar negara mendedahkan pada 11 Jun 2015 satu pertemuan sulit diadakan di kediaman Tengku Razaleigh yang turut dihadiri bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, Tun Mahathir Mohamad dan beberapa pemimpin lain.

Justeru rakyat memaklumi Tengku Razaleigh atau mesra dipanggil Ku Li bakal menjadi Perdana Menteri menggantikan Najib.

Laporan itu juga menyebut bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengetuai Umno sebagai Presiden ketika itu.

Biasanya, Presiden Umno akan menjawat jawatan Perdana Menteri, namun melalui rangka rancangan baru itu, kedua-dua jawatan berkenaan akan dipisahkan menerusi pembentukan ‘kerajaan perpaduan’.

Bagaimanapun Tengku Razaleigh dilaporkan menolak tawaran itu.

Prof Ahmad Fauzi Abdul HamidKetika ditemui Malaysia Dateline, Ahmad Fauzi berkata berdasarkan perkembangan semasa masih sukar untuk mencari calon pengganti Perdana Menteri selain Tengku Razaleigh.

Apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terbelenggu dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dana RM2.6 bilion, desakan agar beliau meletakkan jawatan sebelum pilihan raya umum (PRU) akan datang amat kuat.

Sehubungan itu, ujarnya perlu ada seorang tokoh pemimpin bagi mengisi kekosongan itu.

“Kita lihat suasana dalam keadaan parah susah untuk dipulihkan. Ketika mula Najib naik sebagai PM harapan rakyat cukup tinggi kerana Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) dianggap sebagai Perdana Menteri yang baik tetapi lemah dalam pentadbirannya.

“Setelah dua penggal rakyat kecewa kerana populariti PM Najib paling rendah dalam sejarah negara berbanding perdana menteri sebelumnya,” ujarnya ketika diminta mengulas senario berlaku itu.

Ahmad Fauzi mencadangkan Tengku Razaleigh sebagai ‘calon kompromi’ kerana pengalaman dan ketokohannya diterima di kalangan Umno-BN, pembangkang dan rakyat.

Ketika mana Umno–BN hari ini ujarnya, dilihat sudah tongang terbalik dan pakatan pembangkang juga dilihat kacau bilau, hanya satu calon konsensus yang boleh dijadikan kompromi iaitu Tengku Razaleigh.

“Dalam suasana desakan untuk Najib meletakkan jawatan, Ku Li adalah tokoh yang sesuai. Faktor umur tidak menjadi halangan kerana tujuannya bukan lama sekurang-kurangnya sebelum pilihan raya umum akan datang. Kalaulah berlaku penolakan itu (jika PM letak jawatan).

“Mengapa pula bukan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi?

“Bila sudah berlaku perbalahan dengan Najib dan Muhyiddin sudah pasti penyokongnya tidak dapat menerima Muhyiddin.

“Ahmad Zahid pula dianggap golongan liberal yang mana Islamis dalam Pas dan Umno kurang menerima susuk tubuh beliau membabitkan ‘lifestyle’ nya yang kurang digemari di kalangan konservatif.

“Inilah dikatakan calon kompromi yang boleh ‘cater’ dengan semua pemimpin parti dan rakyat. Ramai melihat status Ku Li seorang tokoh terkecuali dalam dua kes membabitkan calon PM di masa hadapan atau ketika kemungkinan berlaku penurunan kuasa oleh PM masih lagi bertahan sebagai pilihan utama rakyat,” ujar beliau.