Tentera Israel melampau! Tembak sesiapa sahaja yang keluar dari Hospital Al-Shifa

Oleh WAN SITI AMINAH

“Seperti penjara tanpa air, elektrik, atau makanan”, itu luahan seorang doktor pakar sakit puan yang terperangkap dalam Hospital Al-Shifa di Bandar Gaza, Palestin.

Tidak hanya kakitangan perubatan, penduduk awam Palestin yang berlindung dalam hospital juga dilarang keluar selepas kawasan tersebut dikepung tentera rejim Israel.

Doktor dikenali sebagai Fadia Malhis itu memaklumkan, tentera Israel akan melepaskan tembakan ke arah mana-mana individu yang cuba melarikan diri dari hospital.

Memetik laporan TRT World, mereka yang cuba mengebumikan para syuhada turut menjadi sasaran tembakan tentera yang berada kurang satu meter dari pintu hospital.

“Mereka menembak sesiapa sahaja yang mahu keluar dari hospital. Jika sesiapa bergerak antara unit, mereka menembak mereka. Terdapat ramai syahid di kawasan depan bilik kecemasan.

“Keadaannya sangat teruk dan berbahaya, tidak dapat digambarkan. Ia seperti penjara tanpa air, elektrik, atau makanan. Terdapat lebih daripada 100 orang mati syahid di taman itu.

“Mereka melepaskan tembakan ke arah mereka yang cuba mengebumikan syuhada di perkarangan hospital. Taman hospital penuh dengan syuhada. Ada yang cuba melarikan diri dan mereka juga dibunuh,” kata Fadia.

Dr Fadia Malhis yang menyampaikan perkara tersebut kepada wartawan melalui perbualan telefon yang kerap terganggu turut menjadi mangsa tembakan rejim Zionis.

Menurut Dr Fadia, kira-kira 60 bayi yang dirawat di unit rawatan rapi bakal ‘mati satu demi satu’ ekoran ketiadaan bekalan bahan api untuk menjalankan jentera hospital.

Oleh yang demikian, Dr Fadia menggesa supaya pertempuran sengit yang berlaku di sekitar kawasan itu ketika Israel meningkatkan serangan ke Kota Gaza dihentikan segera.

Tidak ubah seperti satu kawasan bencana dahsyat, tembakan senjata dan meriam serta serangan udara dikatakan silih berganti di pusat perubatan utama Gaza itu.

Sangat menyedihkan, puluhan mayat serta penduduk cedera yang bergelimpangan di luar kawasan hospital juga tidak dapat dibawa masuk.

Tentera Israel bagaimanapun menafikan serangan atau pengepungan tersebut dan menuduh Hamas menggunakan kawasan itu sebagai tempat persembunyian.

Tuduhan berkenaan kemudian dinafikan oleh kumpulan pejuang Hamas.

Baca juga: Teringin nak makan pulut tapi tak mahu guna pengukus? Wanita kongsi cara masak dengan periuk nasi