Tentera tembak diri di Kuching disebabkan masalah rumah tangga

Oleh KIM SYAZIE

Tindakan seorang anggota tentera mengamuk dan melepaskan beberapa das tembakan yang mencederakan ibu mentuanya, sebelum dia menembak mati diri dipercayai berpunca daripada masalah rumah tangganya.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata suspek yang berusia 28 tahun bertindak sedemikian kerana marah ketika sedang menyelesaikan masalah rumah tangga bersama isterinya.

“Siasatan awal mendapati suspek yang bertugas sebagai askar telah tiba di lokasi kejadian bagi tujuan penyelesaian masalah rumah tangga dengan isterinya, yang masih dalam proses penceraian.

Ketika dalam perbincangan, suspek telah marah dan mengambil senjata jenis M4 yang disimpan dalam keretanya.

“Suspek terus melepaskan beberapa das tembakan di bahagian ruang tamu dan dapur rumah,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Beliau berkata kejadian yang dilaporkan berlaku kira-kira jam 12.45 tengah hari di sebuah rumah di Kampung Kolong 1, Sungai Tengah, Jalan Matang turut menyebabkan ibu mertua suspek cedera terkena tembakan di bahagian bahu sebelah kiri.

Abang Zainal berkata selepas melepaskan beberapa das tembakan di dalam rumah, suspek kemudian pergi ke hadapan rumah dan terus menembak diri di bahagian dagu.

Beliau menambah ketika kejadian, suspek masih bertugas sebagai anggota pemantauan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 bagi Daerah Bau, dan meminjam kereta kawannya untuk pergi ke rumah keluarga isterinya.

Katanya siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan orang ramai digesa agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi sehingga proses siasatan selesai.