Bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching sebentar tadi memohon maaf atas kesilapan menggunakan bingkai “Lahabau Melaka, Jom undi” di Facebook rasminya.
Ahli Parlimen Kulai dari DAP itu mengakui kesilapan bahasa yang merupakan kata makian bermaksud tidak berguna itu sebagai memalukan.
Menurutnya, hampir semua kempen untuk PRN Melaka terpaksa dilaksanakan melalui media sosial ekoran larangan ketat berkempen.
“Dalam keghairahan kempen media sosial ini, ramai petugas Pakatan Harapan, khususnya DAP, hampir tidak cukup tidur dalam usaha menyediakan bahan-bahan kempen.
“Namun, manusia tidak pernah lepas daripda kesilapan, termasuk diri saya sendiri. Akibatnya, terserlah kesilapan bahasa yang memalukan melalui media sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nie Ching berkata, dia hanya ingin berkempen melalui bingkai percuma yang boleh didapati di dalam Facebook tanpa memahami maksud sebenar perkataan tersebut.
“Dengan ini, saya dengan penuh rendah hati, memohon maaf atas kekhilafan menyiapkan dan memuatnaikkan bahan kempen yang telah tersalah menggunakan bahasa,” katanya.
Sehubungan itu, dia berjanji akan lebih berhati-hati selepas ini dalam memuatnaik bahan-bahan kempen di media sosial sempena PRN Melaka.
“Dengan menyusun sepuluh jari memohon maaf buat semua, terutamanya rakyat dan pengundi Melaka,” tambah Nie Ching lagi.