Terbayang detik cuba selamatkan arwah anak, Zaquan Adha nak jual meja tempat beri CPR

Oleh WAN SITI AMINAH

Bekas pemain skuad kebangsaan, Zaquan Adha bernekad mahu menjual meja snuker yang menyimpan kenangan cukup memilukan sebelum anak bongsunya, Allahyarham Muhammad Aisy Al Raees menghembuskan nafas terakhir pada 11 Februari lalu.

Zaquan yang juga suami kepada pelakon, Ayu Raudhah itu juga memaklumkan bahawa meja itulah yang menjadi saksi detik cemas ketika dirinya dan isteri berusaha sebaik mungkin untuk menyelamatkan nyawa anak mereka.

Difahamkan, pemilik nama sebenar Mohamad Zaquan Adha Abd. Radzak itu meletakkan anaknya di atas meja snuker tersebut untuk memberikan bantuan penafasan resusitasi kardiopulmonari (CPR) sementara menunggu bantuan sampai.

Bekas pemain bola sepak berusia 38 tahun itu sepertinya merasa trauma apabila ternampak meja snuker tersebut ekoran kerap teringat detik cemas ketika menyelamatkan nyawa Raees sebelum mengambil keputusan untuk ‘melepaskannya’ kepada sesiapa yang berminat.

Perkara itu dikongsikan Zaquan menerusi satu hantaran dimuat naik di Instagram Story beserta dengan gambar memaparkan meja snuker tersebut yang masih berada di dalam keadaan baik dan boleh digunakan oleh pemilik baharu.

Saya nak jual meja ini. Sebab dekat atas meja inilah saya dan Ayu meletakkan anak kami, Raees untuk buat CPR sementara menunggu ambulans sampai. Selagi ada meja ini, saya akan sentiasa teringat saat-saat getir ketika cuba untuk selamatkan Raees.

“Jika ada yang betul-betul berminat (membeli) meja ini, boleh hantarkan pesanan secara terus atau DM di akaun media sosial milik saya,” tulis bekas kapten Harimau Malaya itu dalam perkongsian yang dimuat naik di akaun miliknya pada Ahad.

Dalam perkongsian seterusnya, Zaquan turut berkongsi rakaman berdurasi 43 saat memperlihatkan detik ketika dirinya membuka bungkusan dari pihak hospital yang mengandungi baju terakhir dipakai anaknya.

Keadaan meja snuker dan baju terakhir yang dipakai oleh Allahyarham Muhammad Aisy Al Raees.

Zaquan juga menyifatkan bahawa percutian keluarganya di Genting Highlands, Pahang baru-baru ini merupakan peluang yang berikan Tuhan untuk menghabiskan sisa masa terakhir cukup bermakna bersama Raees.

Terdahulu, Zaquan berkongsikan berita duka berhubung pemergian anak ketujuhnya yang menghembuskan nafas terakhir ketika tidur di kediamannya di Negeri Sembilan menerusi satu hantaran di platform Instagram pada 11 Februari lalu.

Muhammad Aisy Al Rees yang selamat dilahirkan pada 2 Ogos, tahun lalu itu dikatakan tidak mempunyai sebarang penyakit dan Zaquan juga belum mendedahkan punca sebenar kematian cahaya mata bongsunya.

Sekadar info, Ayu dan Zaquan yang mendirikan rumah tangga pada 21 Januari 2011 itu turut memiliki enam anak selain Raees iaitu Muhammad Aisy Qaiser, 12, Muhammad Aisy Aryann, 11, Laura Zuleykha, 8, Muhammad Aisy Khaliq, 6, Muhammad Aisy Al Jibreel, 3, dan anak keenam yang kini berusia dua tahun.

Baca juga: “Ya Allah jangan tarik nyawa aku” – Zamarul Hisham kongsi detik cemas lepas sesak nafas masa ‘shooting’