Terdesak nak bayar sewa rumah, selenggara kereta, dua sahabat ditahan curi tabung di 5 masjid

Oleh MALAYSIADATELINE

Tidak kiralah terdesak mana sekalipun sesuatu keadaan itu, jangan pernah mencuri untuk mengurangkan beban diri.

Sudahlah mencuri itu satu kesalahan, bila ditahan polis makin bertambah beban keluarga yang terpaksa pula mencari duit untuk bayar ikat jamin.

Dua sahabat yang nekad mencuri duit tabung di lima buah masjid sekitar Kuala Pilah berjaya ditahan dalam tempoh kurang 24 jam.

Salah seorang suspek memaklumkan dia terdesak kerana memerlukan duit untuk menyelenggara kenderaan dan membayar sewa rumah lapor Kosmo! Online.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, kedua-dua suspek berusia 19 tahun dan awal 20-an itu ditahan di rumah keluarga masing-masing.

Ini adalah susulan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dan maklumat awam yang diterima pihak polis.

Kedua mereka mengaku memecah tabung di lima masjid dan menggunakan kereta jenis Perodua Kancil bagi melakukan perbuatan tersebut.

“Mereka melarikan dua tabung masjid saiz besar dan kecil menggunakan kereta jenis Perodua Kancil. Suspek mengaku terbabit dalam satu kes pecah tabung masjid di Jelebu.

“Kita merampas semula dua tabung besi, wang kertas berjumlah RM113 dan syiling RM7,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Kedua-dua suspek direman selama dua hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Baca juga: Bil tak sampai RM50 walaupun pakai 2 penghawa dingin, lelaki ajar ‘trik’ jimat elektrik