Ada banyak pelakon senior yang sebenarnya layak menerima anugerah namun kebanyakan acara tertumpu kepada sokongan peminat berbanding kualiti disampaikan.
Terkenal denagn gelaran Sarjan Misai, pelakon senior A. Galak mengakui dirinya tidak pernah menerima mana-mana anugerah sepanjang 65 tahun bergelar anak seni.
Namun Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) yang berlangsung semalam menyaksikan A. Galak menerima anugerah pertamanya.
Menurut Kosmo! Online, pelakon berusia 84 tahun itu terharu menerima Anugerah Khas Sepanjang Zaman.
“Syukur atas anugerah ini, saya ucapkan jutaan terima kasih. Ini kali pertama saya terima anugerah selepas 65 tahun bekerja dalam industri sejak Malay Film Productions Jalan Ampas, Singapura.
“Saya mula bekerja di Jalan Ampas pada usia 19 tahun sehingga studio tersebut ditutup pada tahun 1967.
“Kemudian berhijrah ke Kuala Lumpur dan mula berlakon di beberapa syarikat produksi Skop Production selama 40 tahun,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
A. Galak atau nama sebenarnya Zakaria Ahmad turut menerima wang tunai berjumlah RM10,000 berserta trofi.
Pelakon senior itu jugs sempat membuat ucapan penghargaan buat mereka yang memberinya peluang untuk terus berkembang dalam industri seni.
“Di sini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang memberi peluang kepada saya.
“Terima kasih banyak atas budi kalian dan akan saya kenang hingga akhir hayat,” ujarnya.
Baca juga: Banglo mewah Sajat turun harga lagi cecah RM3.79 juta lepas tiga kali dilelong