Terima kasih, Anwar – Dr Samsuri

Oleh WAN SITI AMINAH

Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ucapan itu dizahirkan sebagai tanda penghargaan kepada Anwar kerana memberi keutamaan dalam menyelesaikan isu perumahan generasi kedua dan ketiga Felda.

Ahmad Samsuri selaku Menteri Besar Terengganu turut memaklumkan, kerajaan negeri itu sentiasa bersedia untuk menjalankan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.

Difahamkan, kerjasama itu dijangka mampu mempermudahkan pelaksanaan projek perumahan Felda demi kebaikan dan kesejahteraan penduduk yang terlibat, lapor Bernama.

“Saya ingin mengambil kesempatan dalam sidang pada hari ini untuk mengucapkan setinggi terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana mengumumkan semalam di Chukai, untuk memberi keutamaan menyelesaikan isu perumahan generasi kedua dan ketiga Felda.

“Semua peneroka Felda di Terengganu juga menyumbang kepada ekonomi negara. Terima kasih kerana mendengar suara rakyat Felda di Terengganu ini,” katanya memetik laporan Bernama.

Samsuri berkata sedemikian dalam sesi Penggulungan Belanjawan Terengganu 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu, semalam.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri mewakili kerajaan negeri juga berharap agar usaha tersebut dapat berjalan dengan lancar dan akan menjadi kenyataan. 

Terdahulu, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa kerajaan akan memberi keutamaan untuk menyelesaikan masalah perumahan yang membelenggu generasi kedua dan ketiga Felda.

Perkara tersebut diutarakan Anwar yang juga Presiden PKR itu dalam program Ramah Mesra Bersama Komuniti Felda dan Ketengah di Felda Seberang Tayor di Chukai.

Menurut Ahli Parlimen Tambun itu, beberapa cadangan mengenai perkara tersebut telah diterimanya dan ia sedang diteliti untuk tindakan selanjutnya.

Baca juga: Nabila Razali masih dikecam, suami cadang ke kelas nyanyian sebanyak mungkin