Seorang ahli perubatan menyambut baik keputusan kerajaan untuk mengenakan duti eksais terhadap cecair atau gel yang digunakan untuk rokok elektronik atau vape mulai tahun ini.
Dr Khairul Hafidz Alkhair melalui akaun sosial media Twitternya berkata, pengenalan duti tersebut menandakan bahawa Anwar Ibrahim peka terhadap dasar GEG.
GEG atau Generational Endgame yang membawa maksud Penamat Generasi adalah satu dasar yang amat penting bagi mengurangkan penggunaan vape.
Umum mengetahui, walaupun cecair atau gel yang mengandungi nikotin itu membahayakan kesihatan, namun ianya masih dijual secara berleluasa di negara ini.
Oleh yang demikian, pengenalan Duti Eksais itu dilihat mampu mengawal selia penjualan serta penggunaan rokok elektronik di negara Malaysia.

“Alhamdulillah, perbentangan belanjawan telah selesai. Terima kasih YAB (Yang Amat Berhormat) @anwaribrahim di atas perbentangan berkaitan kesihatan.
“Paling terharu YAB PMX telah menyatakan sokongan terhadap GEG dan duti eksais akan dikenakan pada produk vape dan rokok elektronik,” katanya.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim telah memperkenalkan duti eksais tersebut ketika membentangkan Belanjawan 2023.
Menurutnya, kerajaan juga bersetuju untuk menyalurkan 50 peratus daripada duti berkenaan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai tanda sokongan terhadap ikhtiar GEG.
Baca juga: PM Anwar umum diskaun PTPTN capai 20%, peminjam juga boleh pohon penangguhan sehingga enam bulan