Terima kunjungan hormat Setiausaha Negara AS, PM tegur tarif unilateral Trump

Oleh KIM SYAZIE

24 jam selepas lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Itali, Perancis dan Brazil, hari ini beliau menerima kunjungan hormat dari Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio.

Lawatan ini mencerminkan komitmen bersama kedua-dua negara untuk melonjakkan hubungan Malaysia-AS ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif.

Pertemuan itu membuka ruang kerjasama yang lebih luas dalam pelbagai bidang strategik termasuk pelaburan digital, kecerdasan buatan (AI), pertahanan dan pendidikan.

“Kami turut bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau yang mendesak termasuk situasi di Palestin, Ukraine dan Myanmar,” kata Perdana Menteri dalam perkongsian di Facebook hari ini.

Dalam pertemuan itu, Anwar mengambil peluang menegaskan kebimbangan Malaysia terhadap pelaksanaan tarif import sebanyak 25 peratus oleh Amerika Syarikat seperti yang diumumkan Presiden Donald Trump sebelum ini.

“Malaysia berpandangan tindakan unilateral sedemikian menjejaskan aliran perdagangan bebas dan boleh memberi kesan negatif terhadap pertumbuhan ekonomi serantau, khususnya negara dagang seperti Malaysia,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa ruang rundingan harus terus dibuka bagi menjamin keputusan perdagangan yang adil, saksama dan tidak menindas negara membangun.

Pada akhir pertemuan, Anwar turut menyampaikan jemputan rasmi kepada Presiden Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS dan Sidang Kemuncak Asia Timur yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur, Oktober ini.

“Malaysia kekal yakin bahawa kerjasama erat dengan Amerika Syarikat bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala, malah menjadi pemangkin kepada kestabilan, kemakmuran dan keamanan rantau Indo-Pasifik secara keseluruhan,” kata beliau.

Baca juga: Lawatan PM perkukuh pengaruh ASEAN, kehadiran Presiden Brazil dan Itali Oktober nanti bukti kejayaan diplomatik