Pernah menghiasi kaca televisyen di awal tahun 2000-an, nama penyanyi Che Puan Jeslina Hashim selalu meniti di bibir orang Malaysia satu ketika dahulu.
Kini pelakon berusia 47 itu sedang menjalani hari bahagia bersama suami tercinta, Tunku Eddy Nasruan Adi.
Jeslina mengakui rindu untuk menyanyi semula namun disebabkan masalah tekak, peluang untuk kembali bidang nyanyian adalah tipis lapor Berita Harian.
“Sebelum ini, saya ada gastrik, jadi doktor kata ada ‘acid burn’ di kotak suara. Lagu-lagu dahulu pun saya sudah tak boleh nyanyi. ‘Key’ pun sudah tak boleh ‘hit’, keadaan sudah lebih 10 tahun begini.
“Setakat ini, saya tiada buat rawatan sebab tiada rancangan nak menyanyi. Tapi, menyanyi kadang-kadang okay, tapi kalau saya banyak bercakap, esoknya saya sakit tekak. Menyanyi ‘manja-manja’ bolehlah di rumah.
“Ramai rindu nak dengar saya nyanyi. Jika ditawarkan menyertai program realiti, Gegar Vaganza pun saya tak boleh sebab macam mana nak menyanyi setiap minggu dengan pelbagai genre berbeza.
“Minggu pertama sahaja saya sudah kena ‘kick out’. Tapi, suami tak kisah saya nak menyanyi atau berlakon. Beliau sokong dan kalau saya menyanyi, suami lagi gembira,” katanya seperti dipetik Berita Harian.
Jelasnya lagi, tanggungjawab sebagai isteri dan ibu juga antara sebab dia tidak mahu kembali dalam bidang nyanyi untuk masa terdekat.
“Kehidupan saya sekarang sangat gembira. Tak sampai setahun lagi berkahwin. Sekarang, saya sibuk jaga suami dan rumah tangga.
“Anak-anak saya sudah besar, jadi saya tolong mereka dengan pengajian, jadi pemandu dan sebagainya.
“Memang saya rindu nak menyanyi, tapi saya ada masalah dengan tekak. Saya bercakap pun sudah kedengaran lain, jadi saya harap ada peluang tekak saya sembuh, saya akan kembali,” ujarnya.
Baca juga: Gandingan hero paling padu, baru dua hari tayangan Blood Brothers dah kaut hampir RM10 juta