Penyanyi legenda tanah air, Amir UK’s antara 82 bakal jemaah haji yang terpaksa melupakan hasrat mengerjakan ibadah haji di Makkah.
Kesemua mereka dikatakan terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas ditipu pihak tidak bertanggungjawab lapor Harian Metro.
Amir berkata, dia dan isterinya, Sarimah Ahmad, menerima tawaran menunaikan haji yang dikatakan ditaja sepenuhnya oleh seorang hartawan tidak dikenali, melalui rakan sekerja isterinya pada 9 April lalu.
Segala urusan diatur oleh rakan tersebut yang turut menjadi mangsa, dan mereka dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp bernama ‘Tetamu Allah Haji Akbar 2025’.
“Kami teruja dan setuju terima tawaran sebab ia peluang sukar diperoleh. Segala maklumat kami terima melalui satu kumpulan WhatsApp itu, namun pihak agensi pelancongan terkenal yang didakwa menguruskan perkara itu tiada dalam kumpulan berkenaan.
“Kami menjalani kursus haji di Ampang pada 24 Mei lalu dan surat tawaran yang mempunyai kepala surat agensi itu diterima atas nama kami pada 27 Mei. Kami juga dijanjikan visa mujamalah.
“Kami dijadualkan berlepas ke Tanah Suci pada 5 petang, Ahad lalu (1 Jun), malah semua urusan termasuk mengambil suntikan (vaksin) dan perkara lain yang menelan kos hampir RM4,000 dibayar sendiri.
“Pihak berkenaan mendakwa kesemua itu akan dibayar semula. Malah, duit belanja juga akan diberikan,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Bagaimanapun, katanya, mereka tidak menyedari pengumuman dalam kumpulan WhatsApp berkenaan yang memaklumkan bahawa penerbangan mereka tiada pada Ahad lalu.
Katanya, ketika itu dia dan isterinya sudah berada di KLIA dan setelah dimaklumkan penerbangan dibatalkan, mereka bermalam di sebuah hotel di Sepang.
Keesokan harinya, mereka diberitahu bahawa penerbangan dijadualkan berlepas pada jam 5 pagi semalam, menyebabkan dia yakin bahawa mereka akhirnya akan berangkat ke Tanah Suci.
“Pada hari kejadian, saya lihat semua jemaah sudah berada di KLIA, tetapi kami terus menunggu tanpa sebarang ketibaan pihak yang membawa visa dan pasport.
“Kemudian, rakan yang menguruskan urusan itu memberitahu bahawa wakil pihak berkenaan sedang dalam perjalanan ke lapangan terbang dan kami akan berlepas melalui Kompleks Bunga Raya dengan pesawat sewa khas,” katanya.
Amir pada akhirnya membuat laporan polis dan dimaklumkan oleh pihak terlibat bahawa pasport sudah boleh diambil di sebuah rumah di Setia Alam
Baca juga: Sultan Brunei puji kepakaran IJN – Anwar