Seorang pelanggan didakwa telah melarikan diri tanpa membuat bayaran selepas mendapatkan servis daripada sebuah salun rambut di Pavilion, Bukit Bintang.
Dalam kejadian yang berlaku pada 12 November lalu itu, pemuda tersebut menerima khidmat gunting rambut dan penggayaan bernilai RM890 daripada salun berkenaan.
Pelanggan berkenaan bagaimanapun terus bertindak meninggalkan premis tersebut ketika diminta membuat bayaran atas beberapa jenis servis yang telah diterimanya.
Tular di media sosial, perkara itu dikongsi menerusi hantaran yang dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook dipercayai bapa saudara kepada kakitangan salun.
Oleh kerana pemuda berkenaan melarikan diri, kakitangan salun yang melayannya pula terpaksa bertanggungjawab menanggung kos kerugian berjumlah RM890 itu.
Membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, pengguna itu turut berkongsi rakaman litar tertutup (CCTV) dan tangkap layar perbualan mesej antara lelaki terbabit dan pemilik salon.
“Budak ini sudah perdaya anak saudara saya. Dia buat rambut sampai RM890. Kemudian larikan diri tanpa membuat bayaran. Laporan polis sudah dibuat di IPD Dang Wangi.
“Tangkap layar pesanan mesej, rakaman CCTV, sosial media, tempat kerja, nombor telefon dan tempat tinggal anda (pelanggan larikan diri) semua kami sudah dapat.
“Kepada sesiapa yang kenal mamat ini, minta dia datang ke salun membuat bayaran dan rakam video permohonan maaf. Tak pasal orang lain kena tanggung kos kau buat rambut,” tulisnya.
Salinan resit berhubung servis diterima lelaki itu turut dikongsi dalam hantaran sama melibatkan pewarnaan dan meluruskan rambut masing-masing bernilai RM280 (RM560).
Tidak cukup dengan itu, pelanggan berkenaan turut mendapatkan servis gunting rambut bernilai RM130 dan juga rawatan tambahan yang berharga mencecah RM200.
“Nak bergaya, tetapi menipu. Kalau sengkek pergilah potong rambut dengan mamak. Tak berkat rambut itu kalau lari macam ini. Tuhan nak balas sekejap sahaja. Karma itu wujud,” tulisnya lagi.
Mengundang perbincangan hangat, rata-rata pengguna media sosial malah tampil mempersoalkan kos dandanan rambut yang dikenakan oleh pemilik salun berkenaan.
Menawarkan harga yang sebegitu tinggi, ramai individu berpendapat mereka tidak hairan sekiranya pelanggan berkenaan melarikan diri selepas melihat resit tersebut.
“Patutlah dia melarikan diri. Tentu pelanggan tersebut terkejut apabila melihat bil yang begitu mahal. Dia mungkin menyangka ia hanya sekitar RM200,” kata seorang pengguna.
“Gunting rambut apa yang berharga RM800? Jiwa B40 saya mempersoalkan perkara ini. Pelanggan sepatutnya tanya harga dahulu sebelum mendapatkan servis.” Kongsi pengguna lain.
Baca juga: Padah sebar fitnah, MP Pas berstatus ‘ulama’ terima surat saman dari Fadhlina