Zaman sekarang peminat dilihat tanpa segan silu memegang artis tanpa melihat batas meskipun sesama jantina.
Pastinya ia akan menyebabkan rasa ketidakselesaan kepada selebriti apabila disentuh tanpa izin.
Buat penyanyi dan pelakon Ayda Jebat, dia melihat peminat sekarang adalah lebih ekstrem hingga hilang adab apabila bertemu artis di kawasan umum lapor Kosmo! Online.
“Saya buat perkongsian supaya orang tahu dan faham bahawa saya tak selesa. Sebenarnya, apa yang saya kongsi kadang rasa macam patut atau tak cakap sebab takut mengguris perasaan peminat.
“Bagi saya perjalanan dalam industri dah lama dan orang sekarang semakin hilang common sense dan adab. Ada yang jalan terus tangkap gambar depan muka saya tanpa cakap apa-apa.
“Selain daripada itu, ada yang selalu cium saya, mungkin dia sayang saya. Bukan tak boleh terima tetapi rata-rata tak minta izin,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Penyanyi berusia 32 tahun itu menjelaskan privasinya berkurang hingga sukar meluangkan masa bersama keluarga.
“Sejujurnya, privasi tiada sebab dah jadi selebriti tetapi batas perlu ada. Saya suka orang sayang saya cumanya kurang selesa.
“Akan ada orang komen kau artis, kalau tidak mahu kena ambil gambar, duduk rumah. Saya bekerja, nak juga bawa keluarga jalan-jalan.
“Bila jadi begini, mereka macam kurang sopan, buat saya rasa takut nak keluar. Tidak mungkin nak kena upah pengawal peribadi, saya tak suka,” ujarnya.
Tambahnya ada peminat yang teruja melihat anak perempuannya, Ana Nayla hingga ada memegang tanpa izin dan ini menimbulkan kegusaran buat dirinya.
Ini juga menyebabkan dia merasa terbeban untuk membawa anaknya keluar berjalan ke tempat umum.
“Satu lagi perkara saya nak tekankan, Nayla lebih terkenal dan orang lebih teruja nak cium dia. Saya takut bila cakap bunyinya jadi kasar.
“Apa patut saya lakukan? Saya jadi serba salah. Mungkin mereka suka Nayla sampai teruja sehingga tak boleh kawal tetapi perlu ada batas sebab saya risau keadaan Nayla tak selesa.
“Satu bebanan untuk saya kena fikir sama ada mahu bawa dia keluar atau tidak tetapi sampai bila?,” tegasnya.
Baca juga: Ada yang sampai ‘bertaruh’, Fauziah Ahmad Daud terkilan keputusan berhijab pernah dikritik ramai