Alangkah terkejutnya sepasangan suami isteri ini apabila sebuah kotak yang berisi motosikal jenis ‘Scrambler mini’ tiba-tiba dihantar di hadapan rumah mereka oleh pihak perkhimatan kurier.
Lebih mengejutkan, mereka juga perlu membuat bayaran sebanyak RM750 memandangkan motosikal itu dipesan dengan menggunakan kaedah pembayaran tunai ketika serahan (COD).
Sempat menimbulkan tanda tanya, motosikal Scrambler berkenaan bukanlah dipesan oleh orang lain sebaliknya anak kepada pasangan suami isteri itu sendiri tanpa sepengetahuan mereka.
Difahamkan, kanak-kanak itu pernah mencuba sebanyak dua kali untuk memesan motosikal di aplikasi pembelian namun gagal berikutan kaedah pembayaran ditetapkan kepada perbankan di atas talian.
Namun pembelian kali ketiga oleh anak mereka akhirnya berjaya selepas kanak-kanak terbabit membuat pesanan menggunakan telefon bimbit neneknya berikutan kaedah pembayaran ditetapkan secara COD.
Kejadian itu diceritakan oleh ibu kanak-kanak berkenaan menerusi satu hantaran video berdurasi lapan saat yang dimuat naik di platform TikTok memaparkan suaminya di luar rumah bersama anak menerima pesanan tersebut.
“Anak pesan COD motosikal Scramber. Tetapi mak pak tak tahu apa. Buat hal sungguhlah dua beradik ini,” kata sang ibu menerusi keterangan video yang sudah ditonton oleh 1.6 juta pengguna TikTok itu.
Pasangan suami isteri itu bagaimanapun bernasib baik kerana pesanan tersebut masih boleh dipulangkan kerana menurut mereka, motosikal jenis Scrambler berkenaan langsung tidak berbaloi jika dibandingkan dengan harga.
Menurutnya, anak mereka memesan motosikal Scrambler yang menggunakan tenaga bateri dengan harga setinggi RM750 sedangkan kenderaan sedemikian boleh didapati dalam kos lebih murah di pasaran sekitar RM400 lebih.
“Maafkan kami. Si adik itu pesan pakai telefon Tokma. Bila masa cucu dia pesan juga Tokma tak perasan. Terpaksa pulang sebab tak padan dengan harga. Anak pula pesan bukan pandai tuntut baucer dahulu, terus tekan sahaja.
“Anak nombor dua memang suka sangat. Setiap kali ada duit, dia simpan. Cakap nak beli motosikal ini. Tetapi saya pulangkan sebab harganya RM750, pakai bateri pula itu. Kalau pakai minyak memang saya ambil,” jelas si ibu di ruangan komen.
Tinjauan mendapati rata-rata pengguna meluahkan rasa kurang senang dengan tindakan kanak-kanak itu namun tidak menyalahkan mereka sebaliknya berharap ibu bapa lebih mengawal akses anak kepada telefon bimbit selain meletakkan kata laluan di aplikasi melibatkan wang.
Baca juga: ‘Kerja ni bukan untuk wanita? Saya tetap pilih sebab minat dan tanggungjawab’