Terkejut tengok keadaan terkini pelakon Kampung Pisang Bersiri-siri, “Kritikal, ditidurkan”

Oleh KIM SYAZIE

Sosok yang popular dalam drama Kampung Pisang Bersiri-siri, Mat London kini berada dalam keadaan tenat akibat jangkitan paru-paru.

Mat London yang juga Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) itu mula dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 16 Jun lalu.

Pemilik nama sebenar Ahmad Ibrahim itu kemudian dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL berikutan situasi kesihatannya yang kritikal.

Tidak memberi sebarang tindak balas, Mat London juga difahamkan terpaksa ditidurkan ekoran keadaan paru-paru dan jantungnya sangat lemah.

Memohon doa orang ramai supaya kesihatan Mat London kembali pulih, berita duka itu disampaikan oleh menantunya, Muhamad Daniel.

“Papa dimasukkan ke hospital pada 13 Jun lalu akibat jangkitan kuman dalam paru-paru selepas mengadu tidak bermaya.

“Papa kemudian dipindahkan ke wad pengasingan. Berikutan keadaan kesihatannya yang semakin merosot, papa dipindahkan ke wad ICU untuk pemantauan rapi.

“Dan semalam, keadaan bertambah kritikal selepas papa tidak memberi sebarang tindak balas dan berada dalam keadaan separuh sedar,” katanya.

Daniel memaklumkan, Mat London ditidurkan setelah paras oksigen dan kadar degupan jantungnya berada di tahap yang rendah serta lemah.

Menjejaskan kesihatan, pengarah filem veteran itu juga mengalami pelbagai komplikasi penyakit seperti masalah buah pinggang.

“Selain jangkitan paru-paru dan keupayaan jantung untuk mengepam darah sangat lemah, papa juga mengalami masalah buah pinggang.” Ujarnya.

Baca juga: “Gamak eh nak kurung macam anjing gini”, warganet terkejut kes pelajar dikurung dalam jeriji besi