Jika dilihat di mana-mana media sosial, mukbang biasanya melibatkan makanan namun disebabkan dia cuba mencari kelainan, wanita memilih untuk makan produk kosmetik.
Umum tahu produk kosmetik mempunyai pelbagai jenis ramuan yang tidak boleh ditelan oleh manusia dan perlu digunakan di bahagian badan sahaja.
Seorang pempengaruh produk kecantikan di Taiwan yang dikenali menerusi video unik di mana dia ‘memakan’ kosmetik dikhabarkan telah meninggal dunia secara tiba-tiba.
Kematiannya telah mencetuskan spekulasi di media sosial tanah besar China bahawa dia mungkin meninggal dunia akibat keracunan lapor South China Morning Press (SCMP).
Wanita berusia 24 tahun yang dikenali dalam talian sebagai Guava Beauty, telah mengumpul lebih 12,000 pengikut di salah satu platform media sosial.
Dia terkenal dengan imej manis dan remajanya serta kandungan kreatif yang dimuat naik, termasuk video “make-up mukbang”.
Istilah mukbang biasanya merujuk kepada kandungan yang melibatkan aktiviti makan dan ia popular di kalangan orang rama.
Dalam salah satu klip terbaharunya yang mempromosikan pemerah pipi bertekstur seperti jeli, dia menamakannya: “Kalau awak berani syorkan, saya berani makan.”
Dia dilihat menyapu pemerah pipi ke pipi dan bibirnya, kemudian menggunakan garfu untuk memasukkannya ke dalam mulut dan mengunyahnya.
“Mari kita cuba. Ia rangup, macam agar-agar. Maaf kawan, tapi rasanya teruk,” katanya.
Walaupun ramai peminat terkejut dengan videonya, ada juga yang bimbang kandungannya mungkin mengelirukan penonton.
Terutamanya buat golongan muda, bimbang mereka akan percaya bahawa kosmetik selamat untuk dimakan.
“Tolong hentikan perlakuan seperti ini. Jika anda menikmatinya, lakukan secara peribadi. Tapi jangan promosi makan kosmetik. Itu adalah produk kimia.
“Ia tidak sepatutnya dikunyah, dan meludahkannya semula tidak menyelesaikan masalah. Jika seseorang terpengaruh dengan video anda dan sesuatu berlaku, adakah anda akan bertanggungjawab?” antara komen pengguna media sosial.
Bagaimanapun pada 24 Mei, keluarganya membuat kenyataan bahawa pemilik akaun Guava Beauty telah meninggal dunia.
“Dengan penuh dukacita kami maklumkan bahawa gadis kesayangan kami yang terkenal dengan mukbang produk kecantikan, Guava Beauty, telah meletakkan berus soleknya dan terbang ke saluran baru di syurga pada 24 Mei 2025.
“Terima kasih kepada semua yang pernah menyukai, memberi komen, dan tertawa bersamanya. Dia benar-benar menghargainya,” ujar kenyataan tersebut.
Baca juga: Suami Shaniena Natasya belikan ‘nurse’ loket emas, hadiah jaga anak dan isteri bersalin