Terkesankah perjanjian Pakatan Harapan terhadap BN?

Oleh MALAYSIADATELINE

Pakatan Harapan

Begitu banyak sekali pengajaran yang boleh ditimba ekoran episod pembubaran Pakatan Rakyat (PR) yang dianggotai oleh DAP, PKR dan Pas yang begitu sinonim dengan ungkapan ‘tidur sebantal tetapi berlainan mimpi’.

Walaupun ungkapan tersebut begitu nakal maksudnya tetapi itulah hakikat sebenar PR yang di ilhamkan pada tahun 2008 demi untuk menafikan Barisan Nasional (BN) menubuhkan kerajaan.

Kini ujud satu lagi entiti yang diberi gelaran Pakatan Harapan dan beberapa hari lepas dimeterai Perjanjian Pakatan Harapan yang antara lain untuk memastikan nasib yang menimpa PR tidak berulang.

Kali ini Pakatan Harapan tidak mempunyai Pas tetapi digantikan dengan sebuah parti baharu mirip Pas iaitu Parti Amanah Negara (Amanah).

Memang tidak dinafikan wujud elemen pembaharuan dalam Pakatan Harapan berbanding PR iaitu Pas digantikan dengan Amanah dan dimaktubkan dalam kerjasama tersebut satu perjanjian yang mempunyai tujuh perkara utama.

Menarik untuk dibuat pemerhatian apakah entiti baharu dalam Pakatan Harapan ini mampu memperbaiki hasil kerjasama mereka seperti yang mereka perolehi dalam Pilihanraya Umum ke 13 (PRU13) yang lepas.

Tetapi hakikatnya adalah Pakatan Harapan bukanlah satu gabungan parti politik yang berdaftar seperti mana BN dan apakah perjanjian yang telah dipersetujui itu mampu menjadi penganti karisma Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, atau pun aura Mursyidul Am Pas Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Jika diteliti kesemua tujuh perkara perjanjian tersebut memang sah tujuan utamanya untuk mengelak episod bercakaran antara parti berulang kembali sehingga menyaksikan Pas tidak disertakan dalam Pakatan Harapan.

Paling menarik apakah Pakatan Harapan akan berada dalam kedudukan yang lebih kuat pada ketika ini berbanding ketika PR menghadapi BN pada PRU13 pada tahun 2013 kerana keputusan PRU adalah segala-galanya dalam dunia politik.

Jika dicernakan kesemua tujuh perkara perjanjian, satu ungkapan yang menjadi begitu dominan dan bakal menentukan hidup mati Pakatan Harapan maka ungkapan tersebut ialah ‘‘Majlis Presiden”.

Setiap keputusan yang digubal oleh majlis ini adalah kata muktamad demi mengelak senario carca marba PR yang dikatakan mempunyai dasar parti individu yang bercanggah dengan konsep PR.

Sebenarnya Pakatan Harapan tanpa perjanjian tidak banyak bezanya dengan Pakataan Harapan dengan perjanjian kerana kekuatan sebuah gabungan parti politik banyak bergantung kepada ideologi parti politik yang menganggotai gabungan itu.

Gagalnya PR selepas PRU13 bukan kerana tidak ujud sebarang perjanjian untuk mengikat kerjasama tetapi kerana faktor perbezaan ideologi politik yang begitu ketara diantara DAP, PKR dan juga Pas.

Tetapi melihatkan ketiga-tiga parti dalam Pakatan Harapan dan ini termasuk rakan terkini iaitu Amanah, ideologi politik mereka agak setara dan selari dan besar kemungkinan tidak akan berlaku pergolakkan ketika adanya Pas dalam PR.

Walaupun Amanah mendakwa mereka adalah jelmaan kepada Pas, tetapi hakikatnya adalah tatacara kepimpinan kedua-dua parti tersebut adalah jauh berbeza.

Sebab itu tidak keterlaluan jika dijangkakkan perjanjian yang termaktub itu sebenarnya tidak akan membawa perubahan drastik bagaimana rakyat menilai Pakatan Harapan kerana senario kemelut PR seboleh-bolehnya ditinggalkan dan dilupakan.

Sudah pasti akan ada perubahan diantara rantaian DAP-PKR-Amanah berbanding dengan DAP-PK-PAS tetapi sejauh manakah rantaian terkini milik Pakatan Harapan ini dapat menambat hati pengundi sememangnya menarik untuk diperhatikan.

Mungkin pilihanraya negeri Sarawak medan terbaik untuk menguji kesan pembaharuan dalam Pakatan Harapan tetapi perlu ditegaskan senario politik Sarawak adalah amat jauh berbeza dengan politik Malaysia secara keseluruhannya.

Mungkin tidak akan sampai ke tahap penggunaan logo yang seragam bagi Pakatan Harapan tetapi bagaimana kepimpinan Pakatan Harapan menyusun strategi pembahagian kerusi adalah isyarat awal apakah Pakatan Harapan mampu memberi tekanan kepada BN.

Tetapi satu perkara yang tidak dapat dinafikan adalah pertembungan diantara Pakatan Harapan dan BN, pemangkinnya tidak banyak bergantung kepada kedua-dua entiti ini tetapi banyak bergantung kepada strategi Pas kerana parti yang bersendirian ini dianggap sebagai ‘king maker’ terkini dalam dunia politik tanah air.

Ini adalah kerana setiap keputusan politik yang dibuat Pas bukan sahaja akan memberi kesan kepada parti itu tetapi juga akan terkesan kepada Pakatan Harapan dan BN.